PENJAWAT awam perkhidmatan kritikal dikecualikan daripada arahan kerja dari rumah dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPD), kata Ismail Sabri Yaakob.
Tambahnya, hanya sektor industri di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan penjawat awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam terkesan dengan arahan itu.
“Ingin saya jelaskan bahawa sektor lain tidak terlibat dengan arahan-arahan bekerja dari rumah ini, selain daripada sektor industri dan perkhidmatan awam tadi
“Banyak sektor-sektor lain yang dikategorikan sebagai informal sector, seperti sektor peruncitan, makanan, perladang, pertanian, penjaja, restoran, gerai makan, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP yang ditetapkan.
“Jadi, kedai-kedai lain itu boleh bekerja seperti biasa. Yang melibatkan perkhidmatan perlu bekerja,” katanya pada sidang media, hari ini.
Selepas arahan kerja dari rumah diumumkan semalam, timbul kekeliruan awam menyebabkan majikan dan pekerja meminta penjelasan pihak berkuasa tentang kategori pekerja yang terkesan dengan arahan itu.
Pagi tadi, MITI dalam kenyataan berkata ia hanya membenarkan 10% jumlah pekerja syarikat daripada perkhidmatan perakaunan, kewangan, pentadbiran, undang-undang, perancangan dan beberapa yang lain untuk bekerja di pejabat selama empat jam bermula 10 pagi hingga 2 petang, tiga hari seminggu.
JPA pula mengumumkan yang setiap jabatan perkhidmatan awam dibenarkan maksimum 30% kakitangan awam bekerja di pejabat bermula esok.
Arahan untuk perkhidmatan awam itu terpakai kepada kawasan yang diletakkan di bawah PKPB: Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
“Kekeliruan timbul semalam apabila kami mengumumkan arahan kerja dari rumah. Seperti yang saya sebut semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan memberikan butiran lanjut hari ini.
“Seperti yang kami kata, hanya mereka yang terlibat dalam perkhidmatan awam dan industri diarah kerja dari rumah. Selebihnya boleh meneruskan operasi seperti biasa di bawah norma baharu,” katanya. – 21 Oktober, 2020.
Komen