PKPD dikuatkuasa di Penjara Seberang Perai, PPR Taman Harmoni Sandakan


Aminah Farid

Penjara dan kuarters kakitangan Seberang Perai adalah penjara terbaru dikenakan PKPD selepas beberapa penjara lain termasuklah Kepayan (gambar) di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2020.

PENJARA Seberang Perai dan kuarters kakitangannya di Sungai Jawi, Pulau Pinang serta PPR Taman Harmoni di Sandakan, Sabah akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) minggu ini, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri.

Ismail berkata PKPD untuk kawasan penjara dan kuarters Seberang Perai akan bermula esok, sementara di Sandakan bermula pada 23 Oktober.

PKPD di Seberang Perai akan tamat pada 4 November dan PPR Taman Harmoni akan berakhir pada 5 November.

“Keputusan ini dibuat selepas rundingan dengan Kementerian Kesihatan susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan,” katanya.

Tambahnya lagi, PKPD itu akan membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 serta mempercepatkan ujian swab dibuat pihak berkuasa kesihatan.

“Jumlah individu yang terlibat dalam PKPD Seberang Perai adalah 3,262 orang termasuklah tahanan, kakitangan penjara dan keluarga yang tinggal di kuarters serta penjawat awam.

“PKPD di PPR Taman Harmoni pula melibatkan 870 unit rumah dengan jumlah penduduk 4,481 orang.

“Semua penduduk dalam kawasan terjejas tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing,” katanya.

Penduduk hanya dibenarkan keluar rumah untuk kes kecemasan seperti sakit dan kematian tetapi perlu mendapat kebenaran polis.

“Bekalan makanan akan diedarkan oleh kerajaan negeri yang akan diselia oleh pusat operasi kawalan bencana negeri,” tambahnya.

Malaysia merekodkan 732 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 22,957.

Enam kematian baharu juga dilaporkan menjadikan jumlah korban wabak negara kini seramai 199 orang.

580 lagi pulih hari ini, menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 7,827. – 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen