PEMBANGKANG Persekutuan patut menolak Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 akan datang jika benar mereka mempunyai majoriti untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata menteri Sarawak.
Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah daripada Gabungan Parti Sarawak yang merupakan sekutu kerajaan Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin berkata, ini adalah salah satu kaedah untuk pembangkang mengatasi halangan membentangkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat.
“Jika pembangkang mahu jatuhkan dia (Muhyiddin), undi tolak belanjawan yang akan dibentangkan bulan depan.
“Dalam sistem Westminster, jika belanjawan ditolak, ia bersamaan dengan undi tak percaya terhadap kerajaan,” kata Karim.
Beliau merujuk kepada usaha memfailkan usul tak percaya terhadap Muhyiddin di buat pembangkang untuk sidang Parlimen pada bulan depan.
Karim menjelaskan, beliau menolak sebarang usaha menyingkirkan perdana menteri ketika negara masih memerangi wabak Covid-19.
Tambahnya lagi, penolakan belanjawan juga mempunyai kesan besar kerana ia boleh menghentikan operasi kerajaan Persekutuan dan menyebabkan jutaan penjawat awam tidak bergaji.
“Adakah itu yang kita mahu?” soalnya.
“Secara peribadinya, saya rasa ini bukan masa sesuai. Kerajaan semasa diterajui Muhyiddin buat kerja dengan sangat baik.
“Jika undi tak percaya lulus, kita kena adakan pilihan raya.
“Kita tahu apa yang boleh berlaku (kegagalan pencegahan wabak). Lihat sahaja (apa yang berlaku di) Sabah (ketika pilihan raya negeri).
“Bukan langkah baik untuk adakan undi tak percaya,” katanya. – 21 Oktober, 2020.
Komen