Muafakat undang Bersatu sejak Ogos, kata Takiyuddin


Muafakat Nasional jemput Bersatu untuk menyertai gabungan parti itu secara rasmi sejak Ogos lalu, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2020.

MUAFAKAT Nasional (MN) menjemput Bersatu untuk menyertai gabungan parti itu secara rasmi sejak Ogos lalu, kata salah seorang setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Beliau mendedahkan, undangan itu dibuat melalui satu surat bertarikh 13 Ogos yang dialamatkan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Surat berkenaan ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan rakan sejawat dalam PAS Abdul Hadi Awang, menurut surat disiarkan Takiyuddin di Twitter pada malam tadi.

Dalam surat berkenaan, Zahid dan Hadi mengambil maklum kesediaan Bersatu menyertai gabungan berkenaan.

“Sehubungan itu, dengan sukacitanya mengalu-alukan Bersatu untuk menyertai MN.

“Maka dengan ini MN menghulurkan jemputan tersebut kepada Tan Sri bagi merealisasikan harapan kami di MN.”

Pendedahan itu susulan spekulasi yang muncul semalam apabila MN mengumumkan gabungan itu akan didaftarkan secara rasmi untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Pengumuman oleh Takiyuddin dan rakyat sejawatnya dari Umno Annuar Musa itu bagaimanapun masih menyebut pendaftaran tersebut hanya akan melibatkan dua parti.

Beberapa hari selepas surat undangan kepada Bersatu itu, presiden parti tersebut Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menyertai gabungan berkenaan.

Menurutnya, majlis pimpinan tertinggi Bersatu bersetuju untuk menyertai MN sekiranya gabungan itu mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar.

Ia merupakan satu lagi drama sewaktu Umno masih bermain tarik tali dan mengancam untuk menarik sokongan ke atas PN sekiranya tuntutannya tidak dipenuhi. – 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen