SEBANYAK 5% penduduk Britain diramalkan oleh peralatan baru berisiko tinggi akibat Covid-19 menyumbang tiga perempat kematian semasa gelombang pertama wabak, kata para penyelidik hari ini.
Ketika negara di seluruh dunia bergelut dengan gelombang penyakit kedua, kaedah penilaian risiko - yang juga meramalkan kemungkinan kemasukan ke hospital - dapat membantu mengenal pasti peratusan kecil penduduk paling memerlukan perlindungan daripada virus, menurut satu laporan dalam jurnal perubatan, BMJ.
“Alat ini memberi maklumat mengenai risiko seseorang bagi penyakit serius akibat Covid-19 dan dicipta untuk digunakan doktor dengan pesakit bagi mencapai pemahaman bersama mengenai risiko,” kata penulis dalam satu kenyataan.
Bagi membangunkan aplikasi baharu, yang dikenali sebagai QCovid, para penyelidik dari seluruh Britain mengumpulkan data daripada 6 juta pesakit, termasuk umur, nisbah berat badan, etnik, dan penyakit sedia ada - seperti tekanan darah tinggi dan diabetes - yang diketahui meningkatkan risiko hasil yang serius selepas jangkitan.
Mereka kemudian menguji terhadap 2.2 juta pesakit - yang kebanyakannya tidak mempunyai Covid-19 - bagi melihat sejauh mana ia mampu meramalkan kemasukan ke hospital dan kematian dalam dua tempoh, hujung Januari hingga akhir April, dan 1 Mei hingga 30 Jun.
Lebih daripada tiga perempat mereka yang meninggal dunia akibat virus berada di kalangan 5% teratas yang diramalkan mempunyai risiko maksimum.
Walaupun alat ini secara berkesan memprofilkan mereka yang berkemungkinan berdepan keadaan paling buruk, ia tidak dapat mengenal pasti faktor mana yang menyebabkan maut, kata penyelidik.
Ia juga hanya mengenal pasti risiko kepada anggota masyarakat yang lain tetapi bukan risiko penyakit atau kematian, yang boleh berubah bergantung kepada kadar jangkitan dan langkah berjaga-jaga seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan.
“Ini memberikan sokongan terhadap konsep pelindungan yang disasarkan,” kata Mark Woolhouse, seorang profesor epidemiologi penyakit berjangkit di University of Edinburgh, menggambarkan kajian itu sebagai “hasil yang sangat menonjol”.
“Sekiranya ada cara untuk melindungi 5% golongan ini - seperti ujian rutin kontak rapat mereka - ia dapat memberi perbezaan besar terhadap beban kesihatan awam Covid-19.”
Tetapi model ini memerlukan rancangan pelaksanaan yang jelas, kata David Strain, seorang pensyarah klinikal kanan di University of Exeter.
Strain juga membangkitkan keadaan penyebaran virus terus berkembang.
“Data ini daripada mereka yang dimasukkan ke hospital dan kematian semasa gelombang pertama,” katanya.
“Risiko penularan berubah dengan ketara sepanjang ini, beberapa keadaan menjadi lebih baik (seperti penerimaan pelitup muka secara meluas) dan beberapa yang lebih buruk.”
Model itu sebagai contoh, tidak memasukkan maklumat mengenai pengasingan diri, sama ada seseorang bekerja dalam bidang berisiko tinggi, atau berada di kawasan kejiranan dengan kadar jangkitan yang tinggi.
Menyedari isu ini, penulis berkata mereka mencipta alat tersebut agar ia dapat dikemas kini apabila data baru diperoleh.
Sejak Januari, terdapat sekitar 750,000 kes Covid-19 di Britain, dan hampir 44,000 kematian.
Di seluruh dunia, virus itu menjangkiti lebih dari 40 juta orang, dan membunuh lebih 1.1 juta. – AFP, 21 Oktober, 2020.
Komen