Lelaki maut kereta terbabas jejambat


Irwan Majid

Anggota bomba dan paramedik tiba di lokasi kejadian bagi membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan, 21 Oktober, 2020.

SEORANG lelaki maut manakala isterinya parah apabila kereta dinaiki mereka pasangan terbabit dipercayai terbabas lalu terjatuh di jejambat di Jalan Kepayan, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun yang tersangkut di tembok jejambat disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isterinya, 35, yang dipercayai terjatuh bersama kereta mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Iswara yang terbabas sebelum melanggar tembok jalan lalu terjatuh ke bawah jejambat.

“Mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala isterinya dibawa menaiki ambulans ke HQE II,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Habibi berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen