UMNO dijangka mampu menang pilihan raya umum akan datang tanpa Bersatu disebabkan sokongan rakyat kepada parti Melayu itu sudah pulih, kata penganalisis.
Pemerhati politik berpendapat, Umno berupaya bergerak sendiri untuk meraih sokongan apabila tidak lagi dibebani skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjerut leher mereka.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata, masalah sebaliknya akan dihadapi Bersatu kerana perlu bertanding di kerusi sama dikehendaki Umno.
“Umno boleh menang dan dapat kuasa kalau pilihan raya umum lagi. Umno boleh bersendirian, Umno sudah pulih dari segi sokongan, kalau bersama PAS lagilah kuat, mereka boleh menang.
“Masalahnya Bersatu kerana mereka nak kerusi Umno, kedua-dua mereka berebut kerusi yang sama,” kata Mazlan.
Katanya, salah satu daripada parti itu perlu dikorbankan untuk mengelakkan krisis politik sama berulang pada masa hadapan.
“Bersatu dan Umno sedang bersaing dan mereka tak boleh bergabung dan bekerjasama, macam orang kembar, ada satu jantung nak diselamatkan kena korbankan seorang,” katanya.
Mazlan juga memberi contoh perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah apabila Umno masih tidak berkuasa kerana tidak mendapat jawatan ketua menteri.
Perdana menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebaliknya melantik wakil rakyat parti itu sebagai ketua negeri tersebut.
Beliau juga berpendapat, PAS bagaimanapun tidak berhadapan masalah dengan Bersatu kerana bilangan kerusi yang bertindih adalah minimum.
PAS juga dalam kedudukan lebih baik di sisi Umno kerana sudah membentuk piagam di antara kedua-dua parti untuk tidak bertembung dalam pilihan raya umum akan datang.

Seorang lagi pengkaji, Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan Umno juga tidak lagi dibebani bekas presidennya Najib Razak dan kini mampu meraih kembali sokongan rakyat.
“Umno bergerak sendiri dalam pilihan raya mereka boleh menang… Sokongan rakyat kepada mereka semakin meningkat.
“Najib sudah tidak ada, isu skandal 1MDB itu sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 lalu tidak ada lagi sekarang,” kata pensyarah Universiti Malaya itu kepada The Malaysian Insight.
Bersatu sebaliknya kini dilihat gila kuasa kerana meletakkan ramai pemimpin mereka di jawatan kanan dalam kerajaan, kata Awang Azman.
“Bersatu yang gila kuasa sekarang. Jawatan menteri strategik semua mereka, ketua menteri Sabah, juga dari Bersatu,” katanya.
Beliau berpendapat, tuntutan dikemukakan Umno tidak akan mengubah pendirian parti itu sekalipun jika ia dipenuhi oleh Muhyiddin.
Awang Azman melihat, Umno sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Bersatu dan parti itu tidak lagi berharap untuk bekerjasama dalam Perikatan Nasional selepas dikesampingkan.
“Walaupun Umno menerima rundingan dengan Muhyiddin, mereka tetap akan rugi kerana perlu berkongsi kerusi dengan Bersatu,” katanya.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Azizuddin Sani pula berpandangan, Umno sememangnya berpengaruh untuk membuat tuntutan dengan mengusai 43 kerusi bersama Barisan Nasional (BN).
Atas sebab itulah Umno nampak diperkecil-kecilkan pada masa ini, katanya.
“Umno boleh dikatakan sebagai ‘king maker’ untuk membentuk mana-mana kerajaan… Tuntutan Umno ada asasnya, sekarang mereka terlampau kecil jika nak dibandingkan dengan Bersatu.”
Perkara itu kata Azizuddin dikuatkan lagi dengan sentimen akar umbi Umno yang menolak Bersatu, seperti mana mereka menolak DAP.
“Paling utama akar umbi. Ada sentimen tak suka kepada Bersatu yang agak kuat. Mereka rasa tak boleh kerjasama dengan Bersatu sebab dilihat sebagai musuh yang hendak jatuhkan mereka.
“Sentimen ini yang menguasai Umno sama macam mereka tolak DAP, itu sukarkan mereka untuk berada dalam PN,” kata Azizuddin.
Selain itu, pertikaian di pelbagai peringkat pemimpin dalam PN juga merumitkan usaha untuk menyelesaikan apa-apa isu, kata beliau.

Disebabkan itu, beliau berpendapat pemimpin Umno lebih cenderung untuk bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berbanding PN.
“Kalau Bersatu tak dapat layan tuntutan Umno, mungkin mereka akan berhijrah. Tengoklah sejauh mana Bersatu boleh susun.
“Ia banyak peringkat pertikaian, ada kepimpinan, akar umbi, di kawasan, kampung, dan sebagainya banyak lapisan yang membuatkan susah diselesaikan,” katanya
Jelasnya isu lain seperti tuntutan yang akan dikemukakan PAS dalam agihan kerusi dan akan memberi keuntungan kepada lawan.
“... (Ia) akan diambil kesempatan oleh (Presiden PKR) Anwar Ibrahim untuk kuatkan Pakatan Harapan dan bentuk kerajaan,” kata Azizuddin lagi.
Pergeseran dengan Bersatu memuncak apabila Muhyiddin terpaksa membuka mulut minggu lalu untuk meminta Umno menyatakan tuntutan rasmi bagi membolehkan sokongan itu kekal.
Pada waktu itu, beberapa pemimpin parti sudahpun mendedahkan tuntutan itu termasuk pelantikan lebih ramai orang Umno dalam Kabinet, termasuk ke jawatan timbalan perdana menteri.
Pada masa sama, beberapa pemimpin Umno mempertegaskan kuasa Umno dalam menentukan kedudukan kerajaan PN, termasuk menumbangkannya.
Antaranya Naib Presiden Umno Khaled Nordin yang turut berkata Umno juga mampu menuntut untuk agar pilihan raya umum diadakan lebih awal.
Namun ia pilihan terakhir Umno kerana pandemik Covid-19, dan parti itu juga mengutamakan pembentukan kerajaan kerajaan yang benar-benar mampu mengurus krisis.
“Dan untuk itu, Umno mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya sekadar penyeri kepada PN,” katanya.

Kalangan pemimpin lain seperti seorang anggota majlis tertinggi parti itu, Razlan Rafii, juga masih berharap kerjasama dengan Bersatu dalam menyelamatkan keadaan,
Oleh itu Umno akan mempertimbangkan dahulu tawaran yang dapat dikemukakan Muhyiddin, katanya.
“Yang menjadi keutamaan sekarang adalah apa tawaran baru dan rekonsiliasi dari Muhyiddin kepada Umno jika ingin meneruskan ikatan politik dan meneruskan kerajaan sedia ada.
“Umno juga ada hati, perasaan dan maruah. Tahap kesabaran juga ada hadnya. Biar berkawan ikhlas dan berpolitik bermaruah,” kata Razlan.
Umno berura-ura untuk membincangkan lebih lanjut tuntutan dan kedudukan parti itu bersama PN dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Pahang hari ini.
Bagaimanapun, pertemuan itu dibatalkan disebabkan sekatan kerajaan untuk membendung penularan Covid-19. – 21 Oktober, 2020.
Komen