Kesihatan awam tanggungjawab Persekutuan, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pejabat Kesihatan negeri tidak boleh berkerja dalam silo dan kesihatan awam adalah perkara persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

PEJABAT Kesihatan negeri tidak boleh berkerja dalam silo dan kesihatan awam adalah di bawah tanggungjawab Persekutuan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini sebagai maklum balas terhadap laporan bahawa kementerian telah berhenti berkongsi data penting mengenai kes positif Covid-19.

“Kita ingin melihat pihak negeri bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan negeri (di bawah persekutuan). Bekerja dengan Pejabat Kesihatan negeri kita dan lihat bagaimana kita mengatur kegiatan, berbanding bekerja dalam silo (secara sendirian dan terpisah).

“Saya pasti Pejabat Kesihatan negeri gembira untuk bekerjasama dan berkoloborasi dengan pentadbiran negeri untuk melihat bagaimana kita dapat menyelesaikan isu ini.

“Tetapi kesihatan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan ia di bawah KKM,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa Pasukan Petugas Selangor untuk Covid-19 (STFC) tidak lagi menerima data terperinci daripada KKM sejak awal Oktober sehingga menggagalkan usaha mereka untuk mengekang wabak berkenaan.

Dr Noor Hisham menjawab semalam dengan mengatakan bahawa KKM hanya akan berkongsi data yang diproses dan bukan “data mentah” dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk memastikan koordinasi yang lebih baik. – 20 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen