1 daripada 2 yang disaring di Semporna positif Covid-19, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Lima daripada 10 orang yang disaring di Semporna, Sabah, positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

LIMA daripada 10 orang yang disaring di Semporna, Sabah, disahkan positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Semporna merekodkan kadar jangkitan tertinggi di negeri itu, katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

“Di Semporna, umumnya, setiap 10 pesakit yang menjalani ujian swab, lima akan positif.

“Tertinggi (kadar jangkitan) memang di Semporna. Daerah lain tidak berapa tinggi,” kata Dr Noor Hisham.

Semporna kini mempunyai 1,030 kes aktif Covid-19, dengan kes keseluruhan Sabah mencecah 8,746 kes sejak wabak mula meletus.

Beliau menjelaskan, salah satu sebab lonjakan kes di Semporna adalah kerana kemasukan individu dari negara jiran.

Bagaimanapun, disebabkan kini Semporna dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat secara pentadbiran (Temco) dengan sempadan ditutup, jumlah kes import dijangka akan berkurangan, tambah Dr Noor Hisham.

Pada 28 September lalu, seluruh Semporna diletakkan di bawah Temco, dengan enam kawasan di daerah itu dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) pada 9 Oktober.

Berdasarkan rekod sejak 20 September hingga hari ini, sejumlah 452 kes positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sebelum pulang ke 63 daerah di seluruh Malaysia.

27 kluster aktif juga mempunyai kes indeks mereka yang pulang dari Sabah.

Malaysia melaporkan 862 kes baharu Covid-19, hari ini, dengan Sabah menyumbang 673 kes. Tiga lagi kematian turut dilaporkan menjadikan jumlah korban wabak negara kini seramai 193 orang. – 20 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen