KLUSTER Kertang di Sabah satu-satunya kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 21 kes berkaitan direkodkan.
Ia turut menyumbang dua kes jangkitan baharu dalam 862 kes dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kluster itu terletak di Kota Belud, kes indeksnya dikesan positif pada 14 Oktober lalu ketika proses saringan kontak rapat dengan satu lagi kes positif lain.
Beliau kemudiannya ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan di PPR Taman Seri Bayu.
Dr Noor Hisham berkata pengesanan kontak rapat dan saringan 216 orang kemudiannya berjaya mengesan 21 lagi kes positif setakat hari ini.
Sabah sekali lagi merekodkan jumlah kes harian tertinggi sejak dua minggu lepas, negeri itu melaporkan 673 kes baharu atau 78.1% daripada jumlah kes hari ini.
Setakat hari ini, 86 kluster Covid-19 masih aktif dengan 28 daripadanya melaporkan kes baharu hari ini.
Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah dan Kluster Tembok di Kedah sahaja menyumbang 27.3% kes hari ini.
Sejak meledaknya wabak di Malaysia, 193 kluster dilaporkan dengan 107 sudah ditamatkan. – 20 Oktober, 2020.

Komen