India mula catat penurunan kes Covid-19


Kes baharu Covid-19 di India sejak sehari lalu berada di bawah 50,000 sejak pertama kali dalam masa hampir tiga bulan. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2020.

BUAT pertama kali dalam beberapa bulan kebelakangan ini, India mencatatkan kes harian Covid-19 kurang daripada 50,000 kes.   

Menurut Agensi Anadolu memetik data terkini Kementerian Kesihatan pada Selasa, sebanyak 46,790 kes baharu dicatat dengan keseluruhan sehingga kini berjumlah 7.59 juta.

Sebanyak 587 kematian lagi dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan keseluruhan yang meninggal dunia seramai 115,197 orang. 

Menurut sebuah panel yang ditubuhkan kerajaan bagi memantau keadaan Covid-19, pengurangan kes itu memberikan gambaran India sudah melepasi tempoh kemuncak jangkitan. 

Kes baharu sejak sehari lalu berada di bawah 50,000 sejak pertama kali dalam masa hampir tiga bulan.

Jumlah jangkitan harian pada 28 Julai ialah sebanyak 47,703 dan peratusan kes aktif menurun di bawah 10 peratus. 

“Jumlah kes positif di negara ini kurang daripada 7.5 lakh (748,538 dan hanya merangkumi 9.85 peratus dari jumlah keseluruhan,” menurut kerajaan. – Bernama, 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen