DANA Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) merancang untuk memulakan penghantaran vaksin Covid-19, Sputnik V ke Argentina dan Peru, kata Ketua Eksekutifnya Kirill Dmitriev pada Isnin.
“Kami akan segera mengumumkan perjanjian dengan Argentina dan Peru. Kami juga akan memeterai perjanjian dengan Mexico, Brazil dan beberapa negara lain.
“Kami yakin dapat memulakan penghantaran ke Amerika Latin seawal Disember,” kata Dmitriev dalam satu persidangan dalam talian, lapor agensi berita Rusia (TASS).
Bagaimanapun, masalah peraturan berkaitan kelulusan vaksin dijangka mempengaruhi proses penghantaran, tambahnya.
“Misalnya, baru-baru ini kami telah mengemukakan permohonan untuk ujian klinikal di Brazil dan berharap mendapat kelulusan pada Disember,” katanya.
Sebelum ini, Rusia menerima tempahan 1.2 bilion dos vaksin Sputnik V. RDIF juga menjangkakan pengeluaran bulanan vaksin akan mencapai 10 juta dos menjelang akhir tahun.
Tambah Dmitriev vaksin Sputnik V juga akan dihasilkan di India, Brazil, Korea Selatan dan China.
Rusia menjadi negara pertama di dunia yang mendaftarkan vaksin Covid-19 pada 11 Ogos. Pada 9 September, Menteri Kesihatan Rusia Mikhail Murashko berkata fasa ketiga ujian klinikal vaksin sudahpun bermula. – Bernama, 20 Oktober, 2020.
Komen