KANADA yang sedang berdepan gelombang kedua Covid-19 kini mencatatkan 200,000 kes dan menghampiri 10,000 kematian, menurut data rasmi yang dikumpul oleh penyiar Kanada CBC dan CTV.
Kira-kira 80 peratus kes dan lebih 90 peratus kematian dicatatkan di dua wilayah paling ramai penduduk di negara ini iaitu Ontario dan Quebec yang merupakan pusat wabak negara itu sejak ia merebak pada Mac lalu.
Sehingga petang semalam Kanada mencatatkan 200,039 kes dan 9,772 kematian, menurut data kesihatan awam.
Di Quebec dan Ontario, kebangkitan novel koronavirus sekali lagi menyebabkan penutupan bar dan restoran, muzium serta ruang konsert dan gim serta tempat bersukan.
Perdana Menteri Ontario Doug Ford pada Isnin menyarankan agar kanak-kanak tidak keluar termasuk di kawasan paling teruk terjejas seperti Toronto dan Ottawa.
Di seluruh Kanad pihak berkuasa telah berusaha membendung sumber hospital termasuk tempat tidur rawatan rapi kerana jumlah orang yang berdepan sakit teruk juga meningkat, kata Ketua Pegawai Kesihatan Awam Theresa Tam dalam satu kenyataan.
Sementara itu AS dan Kanada semalam melanjutkan larangan perjalanan tidak penting antara negara jiran sehingga 21 November untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19.
Sempadan antarabangsa terpanjang di dunia ditutup kecuali untuk aktiviti perdagangan barang sejak 21 Mac dengan larangan perjalanan dilanjutkan setiap bulan sejak itu.
Kanada mencatatkan kira-kira 2,284 kes baharu Covid-19 dan 20 kematian setiap hari, angka yang meningkat dengan ketara sejak September apabila pelajar mula kembali ke sekolah dan orang ramai mula bekerja setelah cuti musim panas.
Penyebaran virus secara komuniti menjadikannya lebih sukar untuk mengesan kes baharu sementara kira-kira 2.4 peratus daripada 77,000 ujian yang dilakukan setiap minggu adalah positif. – AFP, 20 Oktober, 2020.
Komen