DUA kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor dan Melaka hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 87.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu membabitkan Kluster Hentian di Hulu Langat dan Kluster Bukit di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Kes indeks bagi Kluster Hentian (iaitu kes ke-18,664) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti enam lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 127 individu telah disaring dengan tujuh kes dikesan positif dan 120 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.
Mengenai Kluster Bukit, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-17,531) telah dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 13 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka.
Beliau berkata saringan kontak rapat mengesan 14 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 89 individu disaring dengan 15 kes dikesan positif, 73 individu negatif; manakala satu individu masih menunggu keputusan.
Mengulas mengenai kesahihan maklumat Covid-19, Dr Noor Hisham berkata dalam kerajaan menangani penularan wabak ini, kerajaan juga perlu menangani isu penularan berita palsu dan maklumat tidak sahih yang sengaja dibuat demi kepentingan sesetengah pihak.
“Tindakan ini adalah sama sekali tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan keresahan dan kerisauan orang ramai. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sebarang berita palsu atau maklumat yang diragui kesahihannya.
“Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memaklumkan umum mengenai situasi terkini Covid-19 dengan menyalurkan berita sahih, tepat dan cepat,” katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai mendapatkan maklumat yang sahih mengenai perkembangan Covid-19 negara, dengan mengikuti sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) yang kini dijalankan setiap hari dan maklumat melalui laman media sosial rasmi KKM.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata orang ramai boleh mengikuti saluran telegram Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM, aplikasi MySejahtera; maklumat, infografik atau video, kenyataan media rasmi KKM dan juga Garis Panduan terkini Covid-19, juga boleh diperolehi dari laman sesawang KKM.
Beliau berkata bagi isu kesihatan berkaitan Covid-19, orang ramai boleh menghubungi CPRC Kebangsaan KKM di talian hotline 03-88810200; 03-88810600; 03-88810700 dan e-mel rasmi [email protected]. – Bernama, 19 Oktober, 2020.
Komen