Hari ketiga kes baharu Covid-19 lebih 800


Penduduk Kota Kinabalu sedang membeli barangan basah di pasar, Sabah hari ini melaporkan 643 kes baharu Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 19 Oktober, 2020.

MALAYSIA sekali lagi mencatatkan lebih 800 kes baharu jangkitan Covid-19 untuk tiga hari berturut-turut, ketika jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti sudah melebihi 21,000 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan setakat tengah hari semalam 865 kes baharu dikesan di seluruh negara, menjadikan kes keseluruhan 21,363 orang.

Daripada jumlah itu, 7 kes baharu adalah kes import, katanya.

Kes baharu yang dicatatkan kelmarin ialah 869 manakala semalam 871, iaitu angka tertinggi kes baharu dalam sehari sejak kes pertama dikesan di negara ini pada hujung Januari.

Secara keseluruhan, 10,139 kes dikesan dalam tempoh 19 hari dalam Oktober sahaja berbanding lebih 10,000 kes antara Januari hingga September.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan tiga kematian di Sabah dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi, menjadikan jumlah terkumpul korban akibat Covid-19 kini 190 orang.

Sehingga tengah hari tadi juga, kes yang dirawat ialah 7,456, dengan 99 kes dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga tengah hari tadi juga 455 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dri hospital, kata Dr Noor Hisham.

Sabah terus mencatatkan jumlah jangkitan baharu tertinggi dengan 643 kes, termasuk 253 yang dikesan di kawasan penjara.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob awal hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan penjara di Kampung Matambai, Kota Kinabalu mulai esok hingga 2 November.

Kementerian Kewangan juga mengumumkan peruntukan tambahan RM44 juta untuk Sabah melalui Kementerian Kesihatan. Peruntukan itu akan digunakan untuk mengukuhkan barisan hadapan menghadapi gelombang baharu penularan Covid-19.

Sebanyak 107 kes juga dikesan di Selangor, melibatkan lima kes import dari China, Amerika Syarikat dan Qatar.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan juga mengesan dua kluster baharu iaitu Kluster Hentian di Selangor dan Kluster Bukit di Melaka, kata Dr Noor Hisham. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen