Sokongan wanita Felda kepada pembangkang meningkat, kata Anak


Diyana Ibrahim

Mazlan berkata, kebangkitan wanita Felda yang terletak pada bahu generasi kedua dan ketiga dilihat bakal memberi risiko besar buat Barisan Nasional (BN) yang selama ini menganggap berada dalam zon selesa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Disember, 2017.

GOLONGAN wanita Felda terutamanya generasi kedua dan ketiga bakal menjadi agen perubahan bagi mencorak undi dalam pilihan raya umum kelak, kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

Mazlan berkata, kebangkitan wanita Felda yang terletak pada bahu generasi kedua dan ketiga dilihat bakal memberi risiko besar buat Barisan Nasional (BN) yang selama ini menganggap berada dalam zon selesa.

Keyakinan Mazlan itu berdasarkan lonjakan sokongan wanita Felda sebanyak 20% terhadap Pakatan Harapan (PH) di kawasan kerusi Parlimen yang menjadi kubu kuat BN.

“Dulu asalnya kita boleh katakan sokongan Felda wanita di negeri yang kuat BN Umno di sebelah Pantai Barat yang kita tahu kebanyakan wanita Felda ini memang orang tempatan dan berasal sana.

“90% semua pergi pada BN. Tapi sekarang, kita boleh kata angka itu mula boleh berubah dan saya yakin ia boleh melonjak sekitar 20% hingga 25% yang kita kata mustahil dulu, dan 30% hingga 35% peratus untuk Pantai Timur.

“Situasi ini kita boleh jangkakan akan menyebabkan dan seterusnya menyaksikan BN bakal kehilangan kerusi mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight semasa majlis Perhimpunan Wanita Generasi Felda Kebangsaan di Petaling Jaya hari ini.

Mazlan juga menjangkakan sokongan terhadap pembangkang di kalangan wanita Felda akan semakin kuat dengan penubuhan Feldanita.

Katanya, Feldanita ditubuhkan bukan semata-mata untuk menarik undi wanita Felda namun ia juga mensasarkan kepada kebajikan wanita dan isu sosial yang membelenggu golongan itu.

 Sebagai contoh, beliau menambah, di Felda isu ibu tidak diberi perhatian dan pihak Felda hanya lebih menumpukan kepada pengurusan ladang dan bukannya masalah sosial.

“Di Felda ini begitu banyak ibu tunggal yang selepas itu kehidupan mereka agak susah. Contoh, apabila kita buat program Back To School ramai sebenarnya ibu tunggal Felda tidak berkemampuan untuk beli barang sekolah anak.

“Kadang itu sampai bulan Mac dan April mereka ini tidak mampu untuk bayar yuran anak sekolah. Jadi isu ini kita lihat sebagai isu penting, tapi ia diremehkan kerana fokus Felda adalah pada pengurusan ladang,” katanya.

Feldanita ditubuhkan oleh Anak dan mendapat kerjasama daripada PH.

Menurut Ketua Biro Wanita Anak Anis Afida Mohd Azli, Feldanita bakal didaftarkan sebagai sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan.

Kata pemimpin Anak itu, sebanyak sembilan kerusi Parlimen Felda BN termasuk Felda Chini di bawah kawasan Parlimen Pekan dipegang Perdana Menteri Najib Razak.

Selain itu, Mazlan berkata, wanita di Felda juga tidak pernah diberi peluang memegang peranan yang setaraf dengan lelaki.

Justeru, tambah Mazlan, menjadi tanggungjawab Feldanita untuk memecahkan tembok usang itu dengan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita Felda.

Sukar tembusi pengaruh GPW

Namun, Mazlan akui, cabaran utama Feldanita kini ialah untuk menembusi pengaruh badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Persatuan Wanita (GPW).

Beliau berkata, meski GPW merupakan badan NGO namun ia cenderung ke arah BN dan Umno.

“Berbeza dengan lelaki, mereka ini mendapat maklumat lebih meluas, berbanding orang perempuan di Felda terutama pada generasi pertama mereka berpaksikan pada GPW.

“Jadi akan berlaku konflik dan menyebabkan perpecahan masyarakat hinggakan penceraian kerana suami ingin perubahan mahu tanam sendiri. Tapi isteri, kerana keadaan mereka hanya pada GPW yang menjadi dominasi golongan wanita, maka akan ada pendirian yang kontra kerana isteri tidak setuju takut dipulaukan masyarakat.

Oleh itu beliau berkata, untuk menembusi pengaruh tersebut, Feldanita mempergiatkan usaha menampilkan tokoh-tokoh wanita “cerdik pandai” Felda. 

Sementara itu, bekas ahli GPW dari Felda Chini, Pekan, Pahang, Aishah Mohd Najib, 65 tahun berkata, beliau yang merupakan generasi pertama Felda sejak 1985 kini menyokong Anak.

“Saya tak ingat bila sertai GPW lama memang tak ingat tapi saya keluar GPW sejak 10 tahun yang lepas,” katanya.

Walaupun dulu dikenali sebagai penyokong tegar GPW dan Umno tapi kerana prinsip kejujuran yang dipegangnya menyebabkam beliau tawar hati dan beralih sokongan.

“Kalau nak kata dulu saya begitu kuatnya Umno dan GPW saya boleh hai, hai saja pada (Perdana Menteri) Najib (Razak) kalau beliau turun kawasan.

“Tapi kalau orang kenal saya, pendirian saya tegas . Saya seorang amanah, jujur. Saya tak suka amalan dedak ini sebab saya buat kerja saya dengan amanah dan jujur.

“Kerana itu saya sokong yang benar bukan pada pemimpin perompak dan penyamun.”

Seperti Mazlan, Aishah juga sedia maklum bukan senang untuk mengubah persepsi wanita Felda terutama generasi pertama untuk melihat kepincangan yang dilakukan kerajaan.

Meski sukar namun Aishah berkata, ia tidak mustahil untuk mempengaruhi pendirian wanita Felda generasi pertama.

“Yang penting kita kena bersatu, kena kerap turun padang bagi penerangan. Sebab kalau kita bagi penerangan saya memang amat yakin kita akan dapat sokongan.

“Cuma sekarang mereka ini takut-takut dan tidak mahu tampil ke depan.”

Feldanita dijangka akan bersaing dengan GPW khusus untuk memberi khidmat kepada wanita Felda di seluruh Malaysia yang dinaungi oleh agensi kerajaan itu. – 16 Disember, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • warga felda tetap akan menyokong kerajaan..anak hanyalah bermimpi saja..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan