MASALAH kesesakan di penjara perlu segera ditangani bagi mengekang penyebaran Covid-19, kata sebuah kumpulan peguam hak asasi manusia.
Koordinator Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata salah satu cara untuk mengurangkan jumlah tahanan adalah dengan membebaskan mereka yang dipenjara kerana kesalahan kecil dan tidak melakukan keganasan serta yang telah menjalani hukuman dua pertiga daripada hukuman mereka.
“Masalah yang perlu ditangani adalah lambakan tahanan di penjara. Dilaporkan ketika ini penjara menampung 73,000 tahanan di kawasan yang sepatutnya mampu menahan 52,000 orang sahaja.
“Tanpa mengurangkan jumlah tahanan di penjara, sebarang SOP yang ada kemungkinan akan gagal dan akibatnya boleh menjadi bencana, bukan hanya kepada tahanan tetapi juga kakitangan penjara dan keluarga mereka serta masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Sabtu Malaysia mencatatkan 869 kes baharu, 186 daripadanya dilaporkan di penjara Pulau Pinang, Seberang Perai dan Alor Setar.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata SOP di penjara akan diperiksa semula untuk kesihatan dan keselamatan.
Pada 6 Oktober Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar mengumumkan Pembebasan Banduran Secara Berlesen (PBSL) bagi pesalah kecil yang dijatuhkan hukuman penjara di bawah setahun dengan baki kurang dari tiga bulan untuk menjalani hukuman.
Zulkifli berkata setakat ini belum ada laporan mengenai berapa ramai tahan yang dibebaskan dengan lesen.
“Kriteria terhad mereka yang memenuhi syarat untuk PBSL bermaksud bahawa penyelesaian yang dicadangkan ini tidak akan secara drastic mengurangkan jumlah tahanan yang terlalu ramai di penjara dan kemudahan ini akan tetap menjadi tempat pembiakan jangkitan Covid-19,” katanya.
Beberapa negara termasuk Indonesia telah mengambil tindakan proaktif untuk mencegah wabak di penjara mereka dengan segera selepas wabak itu melanda. – 19 Oktober, 2020.
Komen