PUTRAJAYA perlu menyalurkan dana kecemasan ke Sabah untuk membantu tindak balas negeri itu terhadap krisis Covid-19 dan membantu penduduk di sana, kata MCA hari ini.
Ketua MCA Sabah Lu Yen Tung berkata peruntukan khas diperlukan kerana wabak itu merebak dengan cepat sementara rakyat menderita di Sabah.
“Peruntukan khas pertama adalah untuk mencegah penyebaran wabak dengan meningkatkan dan memperbaiki kemudahan perubata, peralatan rawatan dan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ada keperluan mendesak untuk memperbanyakan pusat rawatan dan kuarantin negeri serta kapasiti pemeriksaan, katanya.
Katanya negeri juga memerlukan lebih ramai tenaga perubatan dan peralatan untuk meratakan lengkungan dalam waktu sesingkat mungkin.
“Peruntukan khas kedua adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Ia harus disasarkan kepada industri atau sektor yang paling terjejas dan juga kumpulan B40 yang terkesan akibat kemerosotan ekonomi,” katanya.
Beliau menambah peruntukan khas kedua ini juga akan membolehkan kerajaan Sabah merangka skim bantuan untuk membantu industri yang paling teruk terjejas seperti pelancongan.
Sabah adalah kawasan panas koronavirus dengan hampir seluruh negeri berada dalam zon merah sejak September.
Semalam negeri itu mencatat 702 kes baharu dan enam kematian akibat jangkitan Covid-19. – 19 Oktober, 2020.
Komen