Covid-19: PM Itali umum sekatan lebih ketat


Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte mengumumkan satu siri langkah baharu untuk menangani peningkatan jumlah jangkitan Covid-19. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2020.

PERDANA Menteri Itali Giuseppe Conte semalam mengumumkan satu siri langkah baharu untuk menangani peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 dengan menguatkuasakan sekatan di bar dan restoran serta desakan untuk memperbanyakkan operasi kerja dari rumah.

Restoran perlu mempamerkan kapasiti maksimum mereka, tutup pada waktu tengah malam dan mengehadkan jumlah pengunjung setiap meja kepada enam orang.

Sementara bar perlu ditutup pada jam 6 petang kecuali mereka dapat menyediakan perkhidmatan meja kepada pelanggan yang datang ke bar.

Kehadiran ke sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengekalkan penjarakan sosial.

Pesta dan pameran tempatan yang sering dilaksanakan secara besar-besaran di Itali juga dilarang yang mana ia akan mempengaruhi sektor yang menurut kesatuan pertanian Coldiretti mewakili 34,000 pekerjaan dan perolehan tahunan 900 juta euro.

Langkah-langkah ini “seharusnya memungkinkan kita berdepan gelombang penularan baharu yang sangat mempengaruhi Itali dan Eropah”.

“Kita tidak boleh membuang masa,” katanya.

Itali adalah negara Eropah pertama yang dilanda koronavirus dengan teruk dan kini telah mendaftarkan lebih 414,000 kes termasuk 36,543 kematian. – AFP, 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen