DAP, Bersatu ancaman terbesar Umno, kata akar umbi


Mohd Farhan Darwis Zaim Ibrahim Diyana Ibrahim

Akar umbi Umno berkata parti DAP adalah parti yang tidak mempertahankan Islam atau institusi raja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2020.

DAP dan Bersatu menjadi ancaman terbesar kepada Umno, kata beberapa pemimpin akar umbi parti itu.

“Blok Melayu, yang terdiri daripada PAS dan Umno, akan merasa terancam sekiranya DAP menjadi sebahagian daripada muafakat itu,” kata bekas Senator Hanafi Mamat.

“Sesiapa sahaja (yang ingin membentuk kerajaan) boleh jamin DAP tidak akan jadi ancaman tetapi bolehkah ini terjadi sedangkan mereka sangat berbeza dengan kita,” kata bekas ketua bahagian Tanah Merah itu.

Beliau berkata bahawa perlembagaan DAP menyokong konsep “Malaysian Malaysia” sementara parti-parti Melayu pula mahu mempertahankan hak dan hak istimewa orang Melayu.

Hanafi bagaimanapun mengakui bahawa walaupun belum membaca perlembagaan parti DAP, beliau berkata parti itu tidak mempertahankan Islam atau institusi raja.

“Oleh itu, saya tidak fikir Umno takut kepada parti lain selain DAP,” kata Hanafi.

Seorang lagi bekas Senator Umno dari Perak, yang enggan disebut namanya, menyuarakan sentimen serupa ketika ditanya apa pendapat beliau mengenai pergolakan politik semasa.

“Kita boleh menerima sesiapa sahaja kecuali DAP,” kata Senator.

Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan bagaimana sebuah parti yang berbilang kaum itu mengancam Umno.

Pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini mengalami krisis keyakinan selepas Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kerajaan yang baharu berusia 7 bulan itu.

Masalah yang dihadapi presiden Bersatu itu turut dikeruhkan lagi dengan dakwaan pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim yang mendakwa bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dari 222 anggota Dewan Rakyat.

Pakatan Harapan hanya memiliki 91 ahli Parlimen dan memerlukan sokongan Umno bagi mengatasi 112 kerusi sementara sokongan tipis sebanyak 113 kerusi dimiliki Muhyiddin. – 19 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen