PERINTAH Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) untuk Penjara Alor Setar di Kedah akan disambung 14 hari lagi, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan itu berkata keputusan itu dibuat hari ini selepas membincangkan keadaan di penjara di antara kerajaan negeri Kedah dan Majlis Keselamatan Negara.
PKPD yang disasarkan itu akan dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 1 November.
“Kes-kes masih meningkat di kluster penjara, Majlis Keselamatan Kedah dan kerajaan negeri memohon lanjutan. Keputusan ini juga berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media.
PKPD yang disasarkan terhadap Penjara Alor Setar bermula pada 5 Oktober dan akan berakhir esok.
“Lanjutan PKPD ini akan membolehkan pemantauan dan pemeriksaan berterusan bagi memastikan rantai Covid-19 terputus bagi tahanan dan kakitangan penjara,” kata Ismail.
Kluster Penjara Alor Setar dikesan pada 30 September berikutan kematian seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja di penjara itu.
Ujian Covid-19 setelah kematiannya mendapati lelaki dijangkiti virus tersebut.
Ujian berikutnya mendapati jangkitan di dalam kluster itu telah merebak di kalangan tahanan penjara.
Ketika ini, kes Covid-19 di Malaysia menyaksikan peningkatan dengan 869 kes jangkitan dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.
Jumlah kes semalam mengatasi jumlah tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada 6 Oktober sebanyak 691 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara menjadi 19,627.
Angka kematian juga meningkat kepada 180 orang dengan empat kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, 302 pesakit dilaporkan pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan menjadi 12,561 kes atau 64% daripada jumlah kes.
Terdapat 6,886 kes aktif pada masa ini, dengan 91 berada dalam unit rawatan intensif (ICU), di mana 30 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – Bernama, 18 Oktober, 2020.
Komen