BANJIR yang melanda tujuh kawasan di Jasin, semalam pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel yang menempatkan 69 mangsa daripada 19 keluarga ditutup pada 2.30 petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang selepas mendapat kebenaran daripada Pegawai Daerah Jasin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jasin.
“Keadaan cuaca pada hari ini baik dan kesemua mangsa yang terdiri daripada 27 lelaki dan 42 perempuan itu dibenarkan pulang,” kata Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam sebuah kenyataan hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan PPS SK Tehel mula dibuka pada 4.30 petang berikutan limpahan air Sungai Ayer Panas selepas hujan lebat berterusan sejak semalam.
Kawasan yang terlibat ialah Kampung Lubuk Kasau, Hulu Duyung, Jasin Bestari, Bemban, Kampung Tehel, Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong. – Bernama, 18 Oktober, 2020.
Komen