MENTERI Luar Austria Alexander Schallenberg kini menjalani kuarantin kendiri selepas didapati positif Covid-19, kata kementeriannya pada hari Sabtu.
Ia dilaporkan susulan negara itu mencatatkan angka harian baru jangkitan Covid-19.
Schallenberg mungkin dijangkiti virus itu semasa pertemuan menteri luar Kesatuan Eropah di Luxembourg pada hari Isnin, kata jurucakap Kementerian Luar Austria kepada agensi berita APA.
“Beliau belum menunjukkan gejala apa pun,” katanya.
Menteri itu telah membatalkan perjalanan yang dirancang untuk beberapa hari ke Britain, Denmark, Greece dan Cyprus.
Semua anggota kerajaan di bawah pimpinan Canselor Sebastian Kurz akan menjalani ujian sebagai langkah berjaga-jaga pada hari Sabtu.
Austria melaporkan jumlah tertinggi jangkitan baharu sebanyak 2,300 kes pada hari Sabtu.
Dengan populasi 8.8 juta penduduk, Austria turut mencatat 882 kematian sejak wabak ini bermula.
Schallenberg pemimpin terbaru dalam rangkaian ahli politik yang dijangkiti virus tersebut, termasuk Presiden AS Donald Trump, Jair Bolsonaro dari Brazil dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. – AFP, 17 Oktober, 2020.
Komen