LEBIH dari 25% kes Covid-19 yang dilaporkan hari ini berasal dari tiga kluster penjara di wilayah utara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, 160 kes baharu dilaporkan di Kluster Reman dan 26 kes di Kluster Seberang Perai, Pulau Pinang, sementara Kluster Tembok di Kedah mencatat 38 kes baru.
“Jumlah hari ini agak tinggi dengan kebanyakan kes berasal dari Sabah.
“Tetapi jika kita melihat ketiga-tiga penjara itu sahaja, sebanyak 224 atau 25.8% kes hari ini dilaporkan di sana,” kata Noor Hisham dalam sidang media siaran langsung hari ini.
Dalam tempoh 24 jam lalu, Malaysia melaporkan sebanyak 869 jangkitan dengan empat kematian dicatat.
Dalam Kluster Remand, sebanyak 2,914 individu sudah disaring dan sebanyak 377 kes dilaporkan. 376 lagi masih kes aktif.
Bagi Kluster Tembok, seramai 6,977 sudah disaring dengan 1,563 disahkan positif. Daripada jumlah itu, 1,076 masih merupakan kes aktif dengan tujuh ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Bagi Kluster Seberang Perai, 54 individu disahkan positif selepas 625 individu menjalani ujian saringan.
Dr Noor Hisham berkata kementerian perlu menilai semula SOP di penjara dan mereka perlu melakukan ujian saringan secara meluas di lokasi ini.
“Apa yang pasti, mereka (banduan) perlu dilindungi dan hanya satu cara yang boleh dilakukan iaitu menerusi ujian saringan secara besar-besaran.
“Kita perlu melakukan ujian saringan ini juga di depot tahanan dan lokap polis.” – 17 Oktober, 2020.
Komen