SABAH terus menjadi tumpuan dengan 451 kes baharu, lebih separuh daripada 869 jangkitan baharu Covid-19 hari ini, menurut data didedahkan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sejumlah besar dari jangkitan di Sabah itu dari Kluster Tembok melibatkan jangkitan di pusat tahanan, kata ketua pengarah kesihatan dalam sidang media hari ini.
Jumlah 869 kes baharu dari penularan tempatan itu merupakan kadar harian tertinggi direkodkan setakat ini, dan menjadikan jumlah 6,886 kes aktif yang sedang dirawat, katanya.
Dr Noor Hisham juga mengumumkan empat lagi kematian, kesemuanya di Sabah, menjadikan 180 korban Covid-19 setakat ini dan lima kluster baharu.
Tambahnya seramai 91 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 30 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Jumlah kes baharu yang tinggi juga dikesan di Pulau Pinang dengan 189 kes, Selangor (159), Kedah (38) dan Kuala Lumpur (15) menurut beliau dalam sidang media disiar langsung.
Empat negeri – Perlis, Kelantan, Pahang dan wilayah persekutuan Labuan tidak mencatat sebarang jangkitan manakala negeri lain merekodkan antara satu hingga empat kes baharu.
Pada masa sama Dr Noor Hisham memberi jaminan usaha menangani jangkitan di Sabah sedang dipergiat termasuk dengan penghantaran bekalan dan keperluan termasuk kit ujian.
Katanya, penggunaan ventilator di Sabah pada kadar 32% dan penggunaan katil unit rawatan rapi pada kadar 72%, termasuk penggunaan bagi kes bukan Covid-19.
Operasi di 19 hospital Sabah yang merawat Covid-19 juga diperkasa dengan penambahan tenaga bantuan, inovasi peralatan dan juga ubahsuai kegunaan ruang rawatan, kata Dr Noor Hisham.
Malaysia pada waktu ini mampu mengaktifkan 43 hospital Covid-19, 41 pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah dengan jumlah 11,076 katil.
Sebanyak 497 katil unit rawatan rapi dan 1,515 alat bantuan pernafasan juga tersedia. – 17 Oktober, 2020.

Komen