Surat Zahid, Najib sokong Anwar palsu, kata Umno


Surat itu kononnya ditandatangani oleh Ahmad Zahid dan Najib Razak sebagai penasihat Barisan Nasional dengan menyatakan bahawa semua ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

UMNO menafikan tindakan mengeluarkan surat yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri, kata parti itu.

“Pejabat presiden Umno tidak pernah mengeluarkan surat itu,” kata setiausaha Umno Mohd Sumali Reduan dalam satu kenyataan hari ini.

“Surat rasmi Umno tidak akan dikeluarkan tanpa nombor rujukan  yang tidak terdapat pada surat yang tular tersebut.”

Katanya surat itu dikeluarkan oleh pihak yang sengaja mahu menjejaskan reputasi Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Sumali mengulas mengenai salinan surat yang didawak dihantar oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober lalu.

Surat itu kononnya ditandatangani oleh Ahmad Zahid dan Najib Razak sebagai penasihat Barisan Nasional dengan menyatakan bahawa semua ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Surat itu juga mendakwa semua ahli Parlimen Umno sebulat suara menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri Malaysia kesembilan.

Awal hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin  menegaskan beliau tidak menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri, selepas hari ini tersebar sepucuk surat mendakwa sejumlah ahli Dewan Rakyat Umno sudah menarik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin Yassin.

“Sekiranya surat itu sahih, saya ingin menyatakan dengan tegas presiden parti tidak bercakap bagi pihak saya.

“Saya tidak menyokong Anwar Ibrahim untuk jadi PM,” kata Khairy yang juga menteri dalam kabinet Muhyiddin, menyandang portfolio sains, teknologi, dan inovasi.

“Saya harap ahli Parlimen Umno yang lain akan menjelaskan pendirian mereka. Mari kita tengok siapa yang ada sokongan,” tulis Ahli Parlimen Rembau di Instagram, petang ini.

Pada 23 September, Anwar mendakwa kerajaan Muhyiddin sudah tumbang kerana beliau mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.

Pada Selasa, beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan perkara itu.

Yang di-Pertuan Agong kini dalam proses bertemu dengan ketua parti politik bagi mengesahkan dakwaan Anwar. – 17 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen