KERAJAAN membenarkan aktiviti di gimnasium untuk beroperasi seperti biasa di kawasan pelaksanaan PKPB bermula Isnin, 19 Oktober.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti di padang bola sepak dan futsal juga dibenarkan, namun hanya untuk tujuan latihan dan tertakluk kepada 10 orang pada satu-satu masa.
“Hanya latihan bola sepak dibenarkan di padang bola sepak. Perlawanan dan pertandingan tidak dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata sesi di gimnasium juga dibenarkan secara individu dan selagi mematuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Disebabkan aktiviti gim dilakukan secara bersendirian dan membolehkan penjarakan sosial, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil keputusan untuk membenarkan aktiviti ini semasa PKPB,” katanya.
Beliau berkata keputusan ini dibuat selepas Kementerian Belia dan Sukan meminta pusat gimnasium dibenarkan beroperasi semasa PKPB.
Minggu lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya susulan peningkatan kes Covid-19.
PKPB dijangka berakhir pada 27 Oktober. – 17 Oktober, 2020.
Komen