Tentera hantar 14,000 tan kelengkapan, 73 petugas perubatan ke Tawau


Sabah bergelut dengan lonjakan mendadak kes Covid-19 yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan negeri seperti terbukti dengan suasana sekitar Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

SEJUMLAH 14,000 tan kelengkapan perubatan serta 73 pegawai dan anggota dihantar ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah menerusi penerbangan pertama perkhidmatan kesihatan pasukan keselamatan itu pagi tadi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Dr Md Amin Muslan berkata penghantaran petugas dan kesemua kelengkapan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) itu sebagai persediaan penugasan di hospital medan yang dijadual beroperasi Selasa depan.

“Ini kali pertama kali kolaborasi kami dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu mereka, khususnya memberi ruang kepada Hospital Tawau untuk beroperasi sepenuhnya menangani Covid-19.

“Pihak ATM menerusi hospital medan akan terus berada di sini untuk tempoh yang diperlukan KKM sehingga keadaan penularan wabak ini terkawal,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Subang, hari ini.

Kelengkapan perubatan serta petugas kesihatan terbabit berlepas pada kira-kira 8.30 pagi menerusi pesawat pengangkut A400M dan mendarat di Tawau sebelum dijadualkan kembali dengan membawa balik sampel ujian saringan Covid-19 dari Sabah.

Ahad lepas, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata  kerajaan akan membuka Hospital Medan ATM yang dijangka mula beroperasi 20 Oktober ini.

Hospital medan yang dioperasikan oleh  ATM itu  bertujuan memberikan bantuan sokongan merawat kes selain Covid-19, pembedahan trauma dan kecemasan, wad bersalin serta lain-lain. – Bernama, 17 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen