Ada ahli Parlimen buat laporan nafi sokong Anwar, kata polis


Anwar Ibrahim disoal polis lebih dua jam semalam berkaitan senarai 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

ADA ahli Parlimen yang namanya berada dalam senarai 121 wakil rakyat yang didakwa menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri sudah membuat laporan polis menafikan perkara itu, kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed berkata sejumlah 131 laporan polis dibuat ke atas ketua pembangkang yang juga pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Termasuklah aduan dari kalangan ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini tanpa memberikan jumlah laporan dibuat ahli Parlimen itu.

Huzir menambah yang dakwaan dibuat Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti wakil rakyat tersebar luas dalam media massa “hingga mencetuskan pelbagai spekulasi tidak sihat” berniat menimbulkan “ketakutan atau kegentaran awam”.

Bukit Aman semalam menyoalsiasat Anwar lebih dua jam berkaitan senarai 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk mengubah kerajaan.

Huzir berkata senarai itu dilaporkan oleh portal MH Daily.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Anwar semalam bagaimanapun berkata beliau enggan mendedahkan nama ahli Parlimen yang menyokongnya kepada polis kerana ia urusan peribadi beliau dengan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menghadap Agong pada Selasa dan menyerahkan dokumen membuktikan sokongan itu tetapi ia tidak melibatkan senarai ahli Parlimen yang menyokongnya.

Agong sedang dalam proses mengadakan pertemuan dengan ketua parti politik untuk mengesahkan sokongan kepada Anwar. – 17 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen