Kontak rapat wajib jalani kuarantin 14 hari


Ravin Palanisamy

75% pesakit didapati positif Covid-19 semasa ujian pertama dan baki 25% disahkan mendapat jangkitan semasa ujian kedua pada hari ke-13. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

TEMPOH 14 hari kuarantin adalah wajib bagi mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan pesakit Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata walaupun 75% pesakit yang diuji menunjukkan mereka positif Covid-19 semasa ujian pertama mereka, yang lain hanya disahkan mendapat jangkitan semasa ujian kedua pada hari ke-13.

“Kami mendapati 75% dari mereka diuji positif pada hari pertama, yang juga merupakan hari pertama kuarantin mereka.

“Sementara selebihnya, 25% hanya dikesan positif pada hari ke-13 kuarantin mereka,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata mereka yang dikenal sebagai kontak rapat dengan pesakit positif oleh Kementerian Kesihatan akan diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk menjalani kuarantin 14 hari dan gelang merah jambu akan diberi.

Menurut Noor Hisham, individu dikenal pasti sebagai kontak rapat adalah mereka yang terdedah kepada pesakit positif - dengan jarak kurang dari 1 meter, atau bersentuhan (berjabat tangan atau sentuhan) tanpa menggunakan pelindung seperti pelitup muka atau sarung tangan atau bahkan ketika pesakit positif Covid-19 batuk ke arah individu terbabit.

“Kontak rapat akan dikenal pasti dan kementerian akan mengeluarkan HSO dan akan menggunakan gelang merah jambu ... dan kementerian akan memantau selama 14 hari.

“Walaupun ujian pertama negatif, ada kemungkinan keputusan positif dalam ujian berikutnya.

“Oleh itu, kita harus memastikan 25% yang termasuk dalam kategori ini tidak akan terlepas kuarantin mereka.

“Oleh itu, adalah wajib bagi mereka yang diberi arahan menjalani HSO atau dikenali sebagai kontak rapat untuk ditempatkan di bawah kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Malaysia mencatatkan 629 jangkitan baharu Covid-19 dalam 24 jam, dengan 489 atau 77.7% kes berasal dari Sabah.

Enam kematian juga dilaporkan, menjadikan angka kematian negara kepada 176 orang.

Ini adalah hari ke-10 berturut-turut Sabah mencatat jumlah jangkitan harian tertinggi. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen