Hampir 80% kes Covid-19 tanpa gejala atau bergejala ringan, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Menurut WHO Covid-19 boleh menular dalam 10 hari pertama dan oleh itu, pesakit perlu dikuarantin selama 14 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

HAMPIR 80% kes Covid-19 di Malaysia adalah tanpa gejala atau hanya mempunyai gejala ringan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata lonjakan kes baru-baru ini di Sabah juga sama, dengan kebanyakannya berada di bawah dua kategori.

“Jika kita lihat (kes Covid-19) di seluruh negara, 70 hingga 80% jangkitan berada dalam kategori 1 dan 2.

“Begitu juga dengan yang kami kesan di Sabah, dengan 70 hingga 80% daripada mereka yang dijangkiti berada di kategori 1 dan 2,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Pesakit kategori 1 Covid-19 adalah tidak bergejala, kategori 2 adalah mereka yang mengalami gejala ringan sementara kategori 3 adalah pesakit yang mengalami radang paru-paru ringan tetapi tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Kategori 4 adalah pesakit yang mengalami radang paru-paru dan perlu diberi oksigen tetapi bukan ventilator.

Kategori 5 adalah pesakit yang mengalami radang paru-paru teruk dan perlu menggunakan ventilator.

Noor Hisham berkata, walaupun berada dalam kategori 1 dan 2, pesakit masih perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Beliau berkata pesakit cenderung mempunyai nilai kitaran ambang (CT) rendah dalam 10 hari pertama, yang menjadikan tahap jangkitan tinggi.

 “Ketika nilai CT rendah, jangkitan sangat tinggi. Oleh itu, kita harus dikuarantin atau mengasingkan mereka (pesakit) sekurang-kurangnya 10 hari.

“Selepas 10 hari, kadar jangkitan berkurangan. Maknanya nilai CT mungkin tinggi dan mungkin merupakan tempoh akhir jangkitan,” katanya.

Noor Hisham berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus itu boleh menular dalam 10 hari pertama dan oleh itu, pesakit akan dikuarantin selama 14 hari.

“Selepas 14 hari, walaupun ujian Reverse Real-Time Polymerase Chain (rT-PCR) masih positif, tetapi imuniti sangat rendah.

“Jadi, jangkitan yang tinggi (biasanya) sebelum hari ke-10,” katanya. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen