11 ahli Parlimen Amanah turut fail usul undi tidak percaya Muhyiddin


Kamles Kumar

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata 11 usul tidak percaya kepada Muhyiddin Yassin termasuk daripada presiden parti Mohamad Sabu telah dikemukakan ke Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020. 

SERAMAI 11 ahli Parlimen Amanah memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin dengan alasan mereka telah hilang kepercayaan terhadap kemampuan perdana menteri untuk memimpin.

Tindakan dibuat selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamed dan empat ahli Parlimennya daripada Pejuang juga mengemukakan usul mereka semalam.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata 11 usul termasuk daripada presiden parti Mohamad Sabu telah dikemukakan ke Dewan Rakyat. 

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mencabar Muhyiddin untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya cabar Muhyiddin untuk menyenaraikan ahli Parlimen yang menyokongnya atau beliau perlu meletak jawatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Amanah lain yang turut memfailkan usul tidak percaya termasuk bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad dan bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub.

Rangkaian gerakan menentang Muhyiddin menambahkan tekanannya untuk kekal sebagai perdana menteri.

Kedudukan Muhyiddin dilihat goyah berikutan dakwaan Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada masa sama Muhyiddin turut dilihat hilang sokongan daripada Umno. – 16 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen