Pusat beli-belah 1Utama dibenar beroperasi semula esok, kata menteri


Noel Achariam

Aktiviti pembasmian kuman sudah dilakukan dan kira-kira 6,000 kakitangan, penyewa dan pekerja serta pelanggan pusat beli-belah 1Utama sudah disaring. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

PUSAT beli-belah 1Utama diberi kebenaran untuk beroperasi semula esok selepas kakitangan dan pelanggan mereka disaring untuk Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata aktiviti pembasmian kuman sudah dilakukan, dan sejak 15 Oktober, kira-kira 6,000 kakitangan, penyewa dan pekerja serta 110 pelanggan diuji berhubung virus tersebut.

“Mereka yang positif dihantar ke hospital dan mereka yang tiada gejala dikuarantin selama 14 hari.

“Berdasarkan nasihat dan tindakan yang diambil oleh pusat beli-belah, diputuskan ia boleh dibuka pada 17 Oktober,” katanya semasa sidang media di rumahnya.

1Utama di Bandar Utama diarahkan tutup pada 11 Oktober untuk tujuan pemeriksaan Covid-19 terhadap semua pekerja dan bagi membolehkan aktiviti pembasmian kuman dijalankan.

Ia pada mulanya ditutup selama dua minggu hingga 25 Oktober, atas perintah jawatankuasa pengurusan bencana daerah Petaling

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata kluster 1Utama Covid-19 yang melibatkan pusat membeli-belah, mempunyai 132 kes,dengan 87 daripadanya adalah pengawal keselamatan.

Kes indeks adalah pengawal keselamatan Nepal berusia 28 tahun. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen