Kerajaan Sarawak digesa kaji kesesuaian PRN diadakan pada musim tengkujuh


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia bagi  mengenal pasti masalah dan kesan yang bakal dihadapi jika PRN Sarawak dilaksanakan pada musim tengkujuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

AHLI Parlimen Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan kerajaan negeri membuat kajian mengenai apakah pilihan raya negeri (PRN) selamat dijalankan pada musim tengkujuh.

Musim tengkujuh di Sarawak biasanya antara November hingga Februari dan PRN dijadualkan pada September tahun depan.

Bagaimanapun, ada cakap-cakap ia akan diadakan lebih awal, selepas pembentangan belanjawan negara bulan depan.

Wan Junaidi, yang merupakan ahli Parlimen Santubong dan menteri pembangunan usahawan dan koperasi persekutuan, berkata kerajaaan negeri harus bertindak dengan berhati-hati dan menilai sama ada pilihan raya lalu diadakan pada musim tengkujuh.

“Jika ia diadakan semasa musim hujan, apa masalah yang kita hadapi dan kemungkinan akan kita hadapi lagi jika mengadakannya kali ini,” katanya memberitahu wartawan di Kuching hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa empat parti dalam gabungan kerajaan negeri, Gabung Parti Sarawak (GPS).

Empat parti dalam GPS ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pembangunan Progresif (PDP).

Parti pembangkang, dan beberapa NGO, menggesa Ketua Menteri Abang Johari Openg agar tidak mengadakan PRN awal, dengan alasan pandemik Covid-19 dan kesihatan.

Sebaliknya, mereka berkata PRN harus diadakan lebih dekat dengan tarikh mandat kerajaan negeri berakhir pada Jun tahun depan.

Sarawak tidak mengadakan pilihan raya antara Oktober hingga Mac dalam enam PRN sejak 1987. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen