UMNO menangguhkan mesyuarat majlis tertinggi parti itu ke hari Selasa untuk dilangsungkan secara bersemuka di Pahang, kata setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan.
Laporan Berita Harian menyebut, parti itu membatalkan mesyuarat yang dijadualkan diadakan hari ini secara sidang video.
“Mesyuarat MT Umno akan diadakan di Pahang pada Selasa ini, 20 Oktober, jam 3 petang bagi membolehkan semua ahli MT hadir.
“Kita memilih Pahang bagi mesyuarat berkenaan berikutan lokasi di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.
Mesyuarat itu dijangka akan membincangkan tuntutan yang akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan Umno kekal dalam gabungan kerajaan.
Media memetik Ahmad sebagai berkata, parti itu diminta untuk mengemukakan tuntutan itu dalam surat rasmi kepada Muhyiddin.
Menurut The Star, tuntutan itu antara lain mendesak Muhyiddin menamakan seorang pemimpin Umno sebagai timbalan perdana menteri.
Laporan itu memetik kenyataan anggota majlis tertinggi Tajuddin Abdul Rahman yang berkata, ia bagi memperakui pengaruh Umno dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Ia dilaporkan bagi memujuk pemimpin yang tidak berpuas hati kerana pemimpin seperti anggota majlis tertinggi baharu Bersatu, Azmin Ali diberi jawatan lebih kanan dari pemimpin Umno.
Tajuddin dalam laporan itu membangkitkan, Umno patut diberi jawatan timbalan perdana menteri kerana menyumbang jumlah ahli Parlimen paling besar untuk membolehkan PN meraih majoriti.
Azmin merupakan salah seorang daripada empat menteri kanan dalam Kabinet Muhyiddin, yang pertama kali dibentuk tanpa jawatan timbalan perdana menteri.
Menurut Tajuddin, pemimpin Umno tidak berpuas hati kerana kumpulan Azmin yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai PN mendapat jawatan lebih kanan berbanding Umno.
Malah PAS juga berjaya menguasai portfolio lebih penting berbanding Umno, katanya.
“Umno diberi portfolio berkaitan sains, inovasi dan perpaduan, yang tidak banyak boleh diusahakan. Kami sepatutnya diberi portfolio berkaitan ekonomi, perdagangan dan pertanian,” katanya.
Tajuddin juga menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu untuk mempersembahkan jumlah 120 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.
Mengulas perkara itu, Tajuddin memberitahu The Star, Umno sedia bekerjasama dengan Anwar sekiranya DAP tidak disertakan.
“Tanpa DAP, kita sedia berunding,” katanya.
Muhyiddin difahamkan akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Umno Ahmad Zahid Hamidi dan dari PAS Hadi Awang pada hujung minggu ini untuk menyelesaikan kemelut itu.
Tengku Razaleigh pula pada masa sama mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti pembangkang yang dikaitkan dengan usaha membentuk kerajaan campuran baharu.
Tengku Razaleigh menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu selepas baginda mendengar penjelasan Anwar mengenai sokongan untuk mengambil alih kerajaan.
Semalam, veteran Umno itu mendedahkan surat beliau mendesak speaker Dewan Rakyat untuk menyatakan alasan menolak usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.
Usul tersebut difailkan Dr Mahathir pada Mei dan semalam difailkan semula oleh perdana menteri ketujuh itu berserta empat lagi usul sama oleh ahli Parlimen yang bersama beliau dalam Pejuang.
Ahli Parlimen dari Amanah juga hari ini dilaporkan memfailkan usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.– 16 Oktober, 2020.
Komen