RESTORAN di Lembah Klang berdepan kira-kira 40% hingga 60% kerugian apabila terpaksa berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada Rabu.
Walaupun ianya sukar untuk pemilik perniagaan itu, mereka bagaimanapun akur dengan senario itu kerana keutamaan mereka adalah untuk menghadapi pandemik Covid-19.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mereka akur kepada arahan kerajaan dan prosedur operasi standard, namun masih berharap bantuan daripada pihak berkuasa dan pengurangan sewa premis daripada penyewa.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) Muthusamy Thirumeni berkata, berita penguatkuasaan PKPB menjejaskan mereka kerana mereka baru sahaja mula pulih daripada kesan akibat PKP yang dilaksanakan pada Mac.
“Ada perniagaan yang baru pulih, tetapi kini terpaksa berdepan PKPB, perniagaan akan terjejas.
“Bagaimanapun, kami sentiasa berusaha untuk maklumkan kepada pelanggan bahawa kami sentiasa mematui SOP.”
Ketika ini, di bawah PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Muthusamy berkata mereka menjangkakan penurunan pendapatan sehingga lebih 60%.
“Kita masih ada overhed, gaji kakitangan dan sewa yang perlu dibayar.
“Kami harap kerajaan dapat berikan lebih banyak sibsidi seperti bantuan dan geran kepada perniagaan,” katanya.
Di bawah PKPB yang berkuatkuasa sehingga 27 Oktober, waktu perniagaan untuk restoran dan premis makanan akan dihadkan bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam.
Restoran dibenarkan menerima pelanggan namun hanya terhad kepada dua orang untuk satu meja.
Muthusamy berkata mereka faham dengan keperluan kerajaan untuk menguatkuasakan PKPB ketika peningkatan kes Covid-19.
“Kita perlu tegas dan tidak boleh ada kompromi.”
Katanya lebih 700 ahli persatuan itu di Lembah Klang terjejas dengan PKPB.

Penyewa mahukan skim sewa
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata pelanggan masih menjauhi premis makanan walaupun dibenarkan untuk makan.
“Pelanggan bimbang dengan pandemik, jadi tidak ramai yang datang ke restoran.”
Jawahar berkata pihaknya menjangkakan kerugian sehingga 40% pada minggu akan datang.
“Kami akan menanggung kerugian, tetapi apa yang penting ialah untuk mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kami juga merayu kepada penyewa untuk melihat semula skim sewaan bagi dua minggu akan datang.”
Presma mempunyai kira-kira 2,000 ahli di Lembah Klang yang akan terkesan dengan PKPB.
Beliau juga berkata kerajaan perlu pertimbangkan untuk melanjutkan moratorium sehingga hujung tahun ini.
“Ini akan membantu pengendali restoran yang berdepan kerugian.”
Pengerusi Persatuan Restoran Selangor and Wilayah Persekutuan Ku Su Shin Choong Hung Lum Tuck Loy berkata kira-kira 300 ahli persatuan itu terkesan dengan PKPB.
“Kami jangkakan akan mengalami kerugian sehingga 60% pada minggu akan datang.
“Perniagaan restoran tidak begitu baik dan mungkin akan gulung tikar jika PKPB dilanjutkan.”
Beliau turut merayu kepada kerajaan untuk membenarkan lebih ramai pelanggan makan di restoran.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada keluarga. Mengehadkan satu meja kepada dua orang akan menyebabkan orang tidak datang.
“Kami harap mereka dapat pertimbangan untuk benarkan lebih ramai duduk di meja yang mampu menampung 10 pelanggan.
“Kami akan terus mematuhi SOP seperti penjarakan meja.”
Katanya ini sangat penting kerana tidak ramai yang datang ke restoran Cina untuk bungkus makanan.
“Restoran kami bertahan kerana makanan dihidangkan di meja. Jika makanan dibungkus, pelanggan biasanya hanya akan pesan nasi goreng dan mi hokkien.
“Jadi, kami tidak banyak untung.”
Gulung tikar
Presiden persatuan kedai kopi tradisional Klang Lim Peng Hock berkata pihaknya turut terjejas dengan sekatan ini.
“Sejak 18 Mac, kira-kira 10% daripada 200 ahli kami terpaksa gulung tikar kerana pelanggan lari.
“Secara purata pengendali restoran akan mengalami kerugian sehingga 30%.”
Lim berkata keutamaan mereka adalah untuk bertahan dari pandemik.
“Kita perlu patuh dengan SOP kerajaan bagi menghalang penularan virus.
“Kita semua mesti bersatu padu untuk menangani pandemik ini.”
Beliau turut berharap agar kerajaan negeri Selangor dapat membantu peniaga. – 16 Oktober, 2020.
Komen