Borang rentas negeri boleh didapati di FB polis, kata menteri


Noel Achariam

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata permohonan untuk melakukan perjalanan bagi aktiviti sosial bagaimanapun tidak akan dilayan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

RAKYAT Malaysia yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri boleh memuat turun borang permit pergerakan daripada laman Facebook polis, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya ia juga boleh didapati di balai polis terdekat atau muat turun menerusi Facebook PDRM.

“Borang yang lengkap diisi perlu dihantar ke balai polis terdekat untuk mendapatkan pengesahan ketua polis.

“Borang yang telah ditandatangan dan dicop boleh ditunjukkan di sekatan jalan raya ketika melakukan perjalanan,” katanya pada sidang media dari kediamannya hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri agar tidak tergesa-gesa ke balai polis untuk kelulusan.

Ismail Sabri juga berkata pemohonan sosial tidak akan dilayan oleh pihak berkuasa.

“Ada diantara mereka yang memberi alasan untuk melawat saudara mara, tetapi ketika PKPB kita perlu kurangkan pergerakan.

“Sebab untuk PKPB adalah bagi mengekang penularan pandemik.”

Sementara itu, beliau berkata polis menahan 390 individu kerana melanggar syarat PKPB.

Daripada jumlah itu, 386 individu dikompaun manakala empat individu lagi direman. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen