Labuan dikenakan PKPB bermula Sabtu ini 


Noel Achariam

Warga Labuan tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri kecuali kes kecemasan, sakit atau pengebumian di luar kawasan yang dibenarkan dengan kelulusan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

WILAYAH Persekutuan Labuan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu bermula Sabtu ini berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, PKPB akan dikuatkuasakan bermula 17 Oktober hingga 30 Oktober atas nasihat Kementerian Kesihatan.

“Mengenai prosedur operasi standard di Labuan, semua aktiviti ekonomi termasuk industri dan pembuatan dibenarkan.

“Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali kes kecemasan seperti sakit dan pengebumian di luar daerah dibenarkan dengan kelulusan daripada polis,” katanya pada sidang media hari ini. 

Labuan merupakan yang terbaharu dikenakan PKPB selepas Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya susulan peningkatan kes Covid-19.

Beliau berkata kenderaan yang membawa pekerja dibenarkan beroperasi dengan pematuhan SOP.

“Hanya pekerja yang mempunyai pas atau surat kebenaran daripada majikan dibenarkan untuk tujuan bekerja dan menjalankan tugas.

“Pergerakan perlu mematuhi prosedur di pintu masuk ke Labuan yang kini dikuatkuasakan,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan turut menggalakkan majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah.

Mengenai perjalanan udara melalui Lapangan Terbang Labuan, beliau berkata individu terbabit perlu mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu.

Bagi kawalan pergerakan laluan air, beliau berkata pengangkutan air seperti feri RoRo, feri ekspres dan bot laju dibenarkan beroperai sehingga pukul 6 petang sahaja dengan penumpang dihadkan berdasarkan penjarakan sosial antara penumpang.

“Aktiviti penghantaran ke Labuan untuk tujuan perdagangan barter tidak dibenarkan.

“Teksi air dan perhidmatan pengangkutan lain dibenarkan bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja.”

Berkenaan operasi industri perkapalan, Ismail Sabri berkata pergerakan untuk daftar masuk dan keluar kru kapal dan juga industri minyak dan gas dibenarkan beroperasi mengikut peraturan terkini dan SOP yang dikuatkuasakan.

“SOP bagi pergerakan kru masih kekal seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun kapal yang datang dari Sabah ke Labuan, anak kapal yang daftar keluar perlu dikuarantin selama 14 hari.” – 15 Oktober, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen