Jerman catat 6,638 kes baharu Covid-19


Jerman akan mengenakan sekatan lebih ketat sekiranya jumlah jangkitan Covid-19 semakin meningkat di negara itu. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2020.

KES jangkitan baharu koronavirus di Jerman meningkat kepada 6,638 dalam tempoh 24 jam terakhir, lapor data rasmi hari ini.

Peningkatan jumlah yang membimbangkan berlaku beberapa jam selepas Canselor Angela Merkel bertemu dengan pemimpin 16 negara persekutuan Jerman untuk menyetujui sekatan yang lebih ketat yang dirancamg untuk mengekang penularan jangkitan.

Jumlah kes baru tertinggi yang sebelumnya dicatatkan dalam sehari adalah sebanyak 6,294 kes pada 28 Mac, menurut angka dari pusat kawalan penyakit Robert Koch Institute.

Canselor Angela Merkel semalam mengumumkan jumlah had baharu untuk orang berkumpul di acara serta mewajibkan pemakaian topeng muka di kawasan sesak.

Di bawah langkah-langkah baharu, jika satu-satu kawasan mencatatkan lebih dari 35 jangkitan baharu per 100,000 orang selama tujuh hari, pemakaian topeng muka akan diwajibkan di semua tempat.

“Kita dapat melihat kadar jangkitan meningkat dan kita mempunyai kadar jangkitan yang sangat tinggi di beberapa wilayah.

“Oleh itu kita mesti mencegah peningkatan yang tidak terkawal ini,” katanya.

Jumlah mereka yang dibenarkan berkumpul juga terhad kepada 25 orang di tempat awam dan 15 di tempat persendirian.

Ini termasuk mengehadkan perhimpunan persendirian kepada 10 orang atau dua isi rumah dan penutupan restoran selepas 11 malam.

Merkel juga berkata lebih banyak sekatan akan dilonggarkan jika jangkitan baharu terkawal.

“Kita akan melihat apakah yang kita lakukan ketika ini sudah mencukupi,” katanya. – AFP, 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen