IMF, Bank Dunia digesa bantu negara berpendapatan sederhana perangi pandemik


IMF meramalkan ekonomi global menyusut 4.4% pada 2020 dan memberi amaran krisis ini kemungkinan besar akan berlarutan untuk tempoh masa yang lama. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2020.

MEXICO pada Rabu meminta Tabung Kewangan  Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia menetapkan strategi sokongan untuk negara-negara berpendapatan sederhana, kerana negara ini tidak mempunyai kewangan kukuh bagi mengatasi kesan kejatuhan ekonomi disebabkan Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

Negara seperti Mexico, Peru, Colombia dan Bulgaria tidak berupaya mengambil langkah-langkah kewangan kecemasan sebagaimana negara maju, kata Menteri Kewangan Mexico Arturo Herrera.

“Kami tidak mempunyai margin untuk mengendalikannya, baik daripada aspek sosial mahupun fiskal atau ekonomi. Tidak seperti mereka (negara kaya), kami tidak dapat melakukan ‘semua yang diperlukan,’ tetapi (kami melakukan) apa yang terdaya,” kata Herrera dalam video yang disiarkan di Twitter.

Herrera menyertai mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia yang diadakan secara maya pada Rabu. Kebiasaannya mesyuarat itu diadakan di ibu pejabat di Washington.

Agenda utama mesyuarat tahun ini ialah pemulihan ekonomi global di tengah-tengah penularan wabak.

Dalam Laporan Ekonomi Dunia terbaharu yang dikeluarkan pada Selasa, IMF meramalkan ekonomi global menyusut 4.4% pada 2020 dan memberi amaran krisis ini kemungkinan besar akan “berlarutan untuk tempoh masa yang panjang dan tidak menentu.” – Bernama, 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen