KKM cari sukarelawan perubatan lawan Covid-19


Selain pakar, pegawai perubatan dan jururawat, KKM juga mencari sukarelawan pegawai mikrobiologi, juruteknik makmal, juru x-ray dan pembantu kesihatan awam antara lainnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan kini mula menerima permohonan petugas perubatan bukan kerajaan untuk berkhidmat sebagai sukarelawan pasukan hadapan melawan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan perkara itu di Twitternya, pagi tadi, disertakan sekali dengan borang permohonan.

Beliau juga berkata sebarang soalan boleh dikemukan secara terus menerusi email: [email protected]

Rayuan mendapatkan sukarelawan perubatan itu dikeluarkan ketika KKM bersama-sama pasukan keselamatan negara sedang mengubah Kompleks Sukan Tawau menjadi hospital lapangan bagi berdepan lonjakan mendadak kes Covid-19 di Sabah.

Sejak minggu lepas, KKM juga sudah menghantar 500 petugas perubatannya ke pelbagai tempat seluruh Sabah.

Pemohon sukarelawan perlu menyatakan sama ada mereka bersedia dihantar bertugas ke kawasan lain dan sama ada mereka memilih untuk berkhidmat di hospital atau lapangan.

Mereka juga diminta menyatakan kepakaran perubatan mereka.

Antara senarai jawatan sukarela yang dicari adalah pegawai sains mikrobiologi, juru x-ray, juruteknik makmal, selain pakar dan pegawai perubatan serta jururawat. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen