POLIS akan mengambil keterangan Presiden PKR Anwar Ibrahim esok berkaitan senarai 212 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Bukit Aman Huzir bin Mohamed dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata sebanyak 113 laporan polis dibuat ke atas ahli Parlimen Port Dickson berkaitan isu itu.
“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar luas di media massa ketika ini, sehingga kini, sebanyak 113 laporan polis telah diterima.
“Sehubungan itu, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada 16 Oktober 2020 (Jumaat) di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” kata Huzir dalam kenyataan itu.
Difahamkan yang Bukit Aman akan mengambil keterangan itu pada jam 3 petang.
Pertemuan antara polis dan Anwar di Bukit Aman sebelum ini dijadualkan pada 13 Oktober tetapi ditangguhkan pada tarikh ditetapkan kelak.
Selasa lalu, Anwar menghadap Yang di Pertuan Agong di Istana Negara untuk menyerahkan dokumen yang didakwa membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.
Beliau mengumumkan perkara sama dalam sidang media dibuat 23 September lalu.
Bagaimanapun, beberapa laporan polis kemudiannya dibuat ahli Parlimen yang nama mereka didakwa berada dalam senarai itu tetapi menafikan menyokong Anwar. – 15 Oktober, 2020.
Komen