Kes kluster 1Utama lonjak ke 105


Pejabat Daerah Petaling hari ini berkata jumlah jangkitan di kluster pusat beli-belah 1Utama meningkat 105 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

PEJABAT Daerah Petaling hari ini berkata jumlah jangkitan di kluster pusat beli-belah 1Utama meningkat 105 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling (JPBD Petaling) dalam kemaskini di Facebook berkata kes paling banyak membabitkan pengawal keselamatan.

Kes dikenal pasti membabitkan 79 pengawal keselamatan, 18 pencuci dan lapan penyewa – seorang dari C&C Cookies, Daiso (seorang) dan Teh Tarik Place (enam).

“Semua kes di Kluster 1Utama bukan warganegara kecuali pekerja di Daiso,” katanya.

Semalam, Pengerusi JPBD Petaling Johari Anuar dalam satu kenyataan berkata Kluster 1Utama dikaitkan kepada 63 kes, di mana 59 di daerah Petaling sementara empat lagi luar kawasan.

Beliau berkata pusat beli-belah popular itu akan ditutup dua minggu hingga 25 Oktober selepas 63 kes Covid-19 dikesan di situ.

Selangor mengeluarkan arahan itu selepas mengesan empat kes dalam kalangan tiga pekerja dan seorang pengunjung pada Ahad.

1 Utama bagamanapun menafikan kenyataan JBPD bahawa 63 kes dikaitkan kepada kluster pusat beli-belah itu semalam.

Katanya, agak mengelirukan untuk menyatakan semua kes berasal dari pusat beli-belah itu kerana tiada indeks kes yang dikenal pasti.

1Utama menjelaskan terdapat 21 kes positif dikenal pasti daripada ujian saringan terhadap 6,000 kakitangan dan penyewa pusat beli-belah itu pada 11 dan 12 Oktober.

“Daripada jumlah itu, kita dapat kenal pasti 20 staf penyewa dan seorang kakitangan pengurusan pusat beli-belah positif Covid-19.

“Mereka 21 individu itu dikuarantin oleh Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan dan mengurangkan potensi penyebaran virus,” kata pengurusan pusat beli-belah itu.

Ia turut menjelaskan 44 kes membabitkan pengawal kesihatan yang disebut oleh JBPD Petaling bukan berasal dari pusat beli-belah kerana mereka bukan sebahagian daripada ujian saringan beramai-ramai.

“Mereka pengawal keselamatan kontrak dari sumber luar iaitu penyedia pihak ketiga di mana Covid-19 dijangkiti menerusi asrama dan bukan dalam premis kami,” katanya.

1Utama berkata selepas dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan berkenaan seorang pengawal keselamatan didapati positif Covid-19, semua pengawal lain yang dikenal pasti ada kontak, dikeluarkan serta-merta, diuji sekali lagi dan dibenarkan datang bekerja selepas bebas virus itu. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen