TUNTUTAN Umno untuk syarat baharu bagi meraih sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional tidak melibatkan perbicaraan kes rasuah melibatkan beberapa orang pemimpin parti, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini yang “syarat baharu tidak ada kaitan dengan kes mahkamah.”
“Ini semua mengenai Umno sebagai parti,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu ringkas tanpa mengulas lanjut.
Umno pada mesyuarat Biro Politiknya dua malam lepas memutuskan untuk mempertimbangkan semula sokongannya kepada kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin termasuklah menuntut beberapa syarat sokongan.
Ia berlaku selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di Pertuan Agong untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk mengubah kerajaan.
Antara pemimpin Umno yang sedang berdepan kes mahkamah atas pertuduhan korupsi termasuklah Zahid, bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan Najib Razak, Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim.
Umno, parti utama dalam Barisan Nasional, hanya menyokong PN sebagai kerajaan tetapi tidak berhasrat menyertai blok politik itu.
Ketidakpuasan parti itu dengan Bersatu yang diterajui Muhyiddin, memuncak berkaitan isu pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15, kerjasama politik dan calon ketua menteri pada PRN Sabah baru-baru ini.
Umno memegang lebih banyak kerusi Parlimen berbanding Umno tetapi sebilangan pemimpin dan akar umbi parti merasakan mereka dipinggirkan. – 15 Oktober, 2020.
Komen