Jerman laksana langkah lebih ketat untuk kekang lonjakan kes virus


Canselor Jerman Angela Merkel berkata langkah lebih ketat akan dilaksanakan jika kes baharu Covid-19 terus melonjak. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2020.

JERMAN akan memperkenalkan langkah lebih ketat mengenai perhimpunan dan pemakaian pelitup muka bagi mengekang peningkatan jangkitan koronavirus, kata Canselor Angela Merkel pada Rabu selepas perbincangan dengan 16 ketua negeri.

Ekonomi terbesar di Eropah itu akan mula mengenakan had bagi perkumpulan acara dan juga pelitup muka wajib dipakai di tempat sesak ketika jangkitan baharu di kawasan mencecah 35 bagi 100,000 orang dalam tempoh tujuh hari.

“Saya yakin apa yang kita lakukan sekarang dalam beberapa hari dan minggu ini akan menjadi penentu bagi persoalan bagaimana kita menghadapi wabak ini,” kata Merkel.

“Kita dapat melihat kadar jangkitan meningkat dan kita mempunyai kadar jangkitan yang sangat tinggi di beberapa wilayah,” tambahnya.

“Oleh itu, kita mesti mencegah kenaikan tidak terkawal atau eksponensial.”

Sekiranya kawasan mencatatkan lebih 35 jangkitan baharu bagi setiap 100,000 orang dalam tempoh tujuh hari, pelitup muka akan diwajibkan di semua tempat di mana orang mempunyai kontak rapat bagi jangka masa yang panjang.

Bilangan orang yang dibenarkan berkumpul juga akan terhad kepada 25 di tempat awam dan 15 di tempat persendirian.

“Kami sudah memutuskan jumlah profilaksis sebanyak 35 kerana kami melihat beberapa contoh seberapa cepat kenaikan itu berlaku dari 35 kepada 50,” kata Merkel.

Selepas ambang 50 jangkitan baru bagi setiap 100,000 dilangkaui, sekatan yang lebih ketat akan berlaku.

Ini termasuk mengehadkan perhimpunan peribadi kepada 10 orang atau dua isi rumah, dan penutupan restoran selepas jam 11 malam (2100 GMT).

Lebih banyak sekatan mungkin dikenakan jika lonjakan jangkitan baru kekal, Merkel memberi amaran.

“Kita akan melihat apakah langkah diambil hari ini mencukupi,” katanya selepas keputusan pada Rabu.

“Itulah sebabnya kerisauan saya masih belum hilang hari ini.” – AFP, 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen