MALAYSIA berdepan gelombang ketiga wabak Covid-19 kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mendengar saranan Menteri Kesihatan Adham Baba, dakwa Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu mendakwa MKN menolak cadangan Adham untuk mengarahkan kuarantin wajib 14 hari bagi semua yang pulang dari Sabah selepas pilihan raya negeri itu.
Beliau juga berkata MKN dianggotai oleh menteri Bersatu dan lantikan parti itu.
“Dari segi pengawalan Covid pula, Majlis Keselamatan Negara menolak cadangan menteri kesihatan (Adham) dari Umno untuk melaksanakan kuarantin wajib untuk mereka yang pulang dari Sabah selepas PRN,” katanya dalam coretan di Facebook, petang tadi.
Tambah bekas presiden Umno itu lagi, rakyat kini menyalahkan Umno kerana lonjakan kes Covid-19 yang berlaku tanpa mengetahui cerita sebenar.
“Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia.
“Dan kini, Umno turut dipersalahkan bagi gelombang ketiga Covid pada masa kini,” katanya.
Beliau turut mengecam prestasi kerja Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang gagal menghalang penularan wabak dalam penjara di utara Semenanjung.
“Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin mandatori di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negera serta kegagalan menteri PPBM (Bersatu, Hamzah) untuk mengasingkan tahanan serta SOP yang sepatutnya turut menyebabkan kluster Sivagangga di Kedah dan penularan amat teruk di Sabah serta beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.”
Berlaku kekeliruan tentang arahan kuarantin mereka yang pulang daripada PRN Sabah sehingga mencetuskan lonjakan kes Covid-19 di Semenanjung.
Rakyat Malaysia yang bengang dengan situasi itu mengecam politikus yang dianggap mereka tidak pedulikan kesihatan awam dan hanya mahu meneruskan agenda politik mereka.
Coretan Najib petang tadi adalah untuk mengulas keputusan Umno semalam yang mahu mempertimbangkan semula kerjasama dengan Perikatan Nasional, mendakwa mereka dibuli dan dipinggirkan kerajaan Muhyiddin. – 14 Oktober, 2020.
Komen