Mexico tandatangan perjanjian jaminan vaksin Covid-19


Mexico menandatangani perjanjian awal dengan tiga firma bioteknologi, antaranya Pfizer dari AS.– Gambar AFP, 14 Oktober, 2020.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Selasa menandatangani perjanjian awal dengan AstraZeneca, Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) dan CanSino Biologics dari China yang akan memperoleh 146 juta dos vaksin Covid-19.

Mexico membuat pembayaran awal sebanyak AS$159 juta dan secara keseluruhannya, Mexico akan membayar AS$321.21 juta pada akhir tahun ini, menurut laporan Agensi Anadolu.

Ia berkata pemerintah merancang untuk memvaksin 116 juta orang pada akhir 2021, dengan pusingan vaksinasi pertama yang akan dimulakan pada Disember. Vaksinasi awal akan mengimunisasi 2.6 juta orang dan pada akhir suku ketiga pada 2021 jumlahnya akan mencapai 20 juta.

“Bermula hari ini, Mexico berada dalam keadaan yang sama dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara lain di seluruh dunia, kami telah menjamin bekalannya,” kata Menteri Luar Marcelo Ebrard.

Kumpulan pertama yang akan menerima vaksin adalah petugas perubatan dan kes yang paling mendesak seperti pesakit dengan keadaan yang paling memerlukan, kata laporan itu.

Mexico mencatatkan 1,320 kematian berkaitan Covid-19 daripada kalangan pekerja perubatan. Kekurangan peralatan perlindungan dan kes yang semakin meningkat telah memberi kesan kepada doktor dan jururawat. Perlindungan bagi mereka yang terlibat secara langsung dengan kes Covid-19 sangat penting dalam melawan virus.

Mexico berada di tempat keempat di dunia dalam kematian akibat Covid-19 dan kesepuluh untuk jangkitan.

Kerajaan merancang untuk mengimunisasi sehingga 95% penduduk, menurut laporan Anadolu. – Bernama, 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen