Lebih 200 premis di Terengganu dikompaun tidak patuh SOP


Orang ramai dinasihatkan tidak pergi ke premis makanan yang tidak mematuhi SOP dan lapor kepada pihak berkuasa jika ada premis sesak tanpa penjarakan fizikal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan sebanyak 264 kompaun bernilai RM264,000 terhadap pemilik premis makanan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sejak 1 April lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata daerah Besut merekodkan jumlah tertinggi iaitu 62 kompaun diikuti Kemaman (55), Hulu Terengganu (33), Setiu (29), Kuala Terengganu (28), Dungun (26), Marang (16) dan Kuala Nerus (15). 

“Selain itu, sebanyak 195 premis diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakan 2 meter antara meja pelanggan.

“Arahan tutup adalah antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada kesalahan dan tahap ketidakpatuhan pemilik premis terhadap SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seramai 48 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi pematuhan SOP itu di semua premis seperti pasar raya, restoran, kedai makan, pasar awam dan pasar tani di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, Nor Azimi berkata penguat kuasa jabatan juga menjalankan pemeriksaan pematuhan SOP Covid-19 di 20,005 premis di seluruh Terengganu sejak Mei lepas.

Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak mengambil rekod suhu pekerja, tidak memastikan pengambilan suhu pelanggan yang tepat dan tiada penjarakan meja pelanggan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak pergi ke premis makanan yang tidak mematuhi SOP dan berharap mereka membuat laporan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya ternampak premis makanan yang penuh sesak tanpa penjarakan fizikal. – Bernama, 14 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen