Bank Dunia lulus AS$12 bilion untuk vaksin Covid-19


Presiden Kumpulan Bank Dunia David Malpass berkata bantuan pembiayaan bertujuan membantu negara membangun memerangi wabak Covid-19. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2020.

BANK Dunia berkata pada Selasa ia meluluskan AS$12 bilion untuk negara membangun membiayai pembelian dan pengagihan vaksin, ujian dan rawatan Covid-19.

Pembiayaan itu “bertujuan menyokong vaksinasi hingga 1 bilion orang,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada pakej Kumpulan Bank Dunia (WBG) bernilai sehingga AS$160 bilion bagi tempoh hingga Jun 2021 yang dirancang untuk membantu negara membangun memerangi wabak koronavirus.

“Pakej pembiayaan ini membantu memberi isyarat kepada industri penyelidikan dan farmasi yang penduduk di negara membangun juga memerlukan akses kepada vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan,” kata pernyataan itu.

“Ia juga akan memberikan pembiayaan dan sokongan teknikal sehingga negara membangun dapat menyiapkan pengagihan vaksin secara besar-besaran, seiring dengan rakan kongsi antarabangsa.”

Akses kepada vaksin yang selamat dan berkesan “dan sistem pengagihan yang diperkukuhkan adalah kunci untuk mengubah arah pandemik dan membantu negara yang mengalami kesan bencana ekonomi dan fiskal menuju ke arah pemulihan yang mampan,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia David Malpass dalam kenyataan itu.

Pembiayaan itu “juga akan menyokong negara untuk mengakses ujian dan rawatan Covid-19, dan memperluas kemampuan imunisasi bagi membantu sistem kesihatan mengagihkan vaksin secara efektif,” tambah kenyataan itu.

Kelulusan pembiayaan itu sudah dijangka kerana Malpass pernah mengumumkan projek itu pada akhir September.

Walaupun vaksin belum muncul di pasaran, Malpass berkata dalam wawancara dengan akhbar harian Preancis, Le Figaro, ia perlu disediakan kerana proses pengedaran vaksin yang rumit.

Pendekatan Bank Dunia, menurut kenyataan itu, menggunakan “kepakarannya yang signifikan dalam mendukung program imunisasi berskala besar bagi penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, serta program kesihatan awam untuk menangani penyakit berjangkit seperti HIV, tuberkulosis, malaria dan penyakit tropikal yang diabaikan.” – AFP, 14 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen