FACEBOOK pada Selasa mengumumkan melarang iklan yang tidak menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin, ketika gergasi media sosial itu menekankan kepentingan tindakan pencegahan.
“Walaupun pakar kesihatan awam bersetuju yang kita tidak akan mempunyai vaksin Covid-19 yang diluluskan secara meluas untuk beberapa waktu, ada beberapa langkah yang boleh diambil orang ramai untuk tetap sihat dan selamat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Platform ini melarang maklumat dan penipuan yang dikenal pasti oleh institusi kesihatan awam seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Ia akan terus membenarkan iklan sama ada mendesak atau menentang peraturan kerajaan yang berkaitan dengan vaksinasi.
Dan ia merancang untuk melancarkan kempen maklumat awam di Amerika Syarikat (AS) yang mendorong orang ramai untuk mendapatkan vaksin terhadap selesema bermusim.
Vaksin koronavirus diharapkan dapat menjadi kunci untuk mengatasi wabak dan beberapa makmal sedang berusaha membangunkannya.
AS sudah membuat tempahan awal berjuta dos vaksin yang sedang dibangunkan oleh Pfizer dan Moderna, tetapi juga daripada AstraZeneca, Johnson & Johnson, Novavax dan Sanofi, bagi memastikan penghantaran cepat daripada mana-mana syarikat yang berjaya menghasilkannya lebih awal.
Facebook sering dituduh membiarkan gerakan antivaksin berkembang.
Menurut pihak berkuasa kesihatan AS, jumlah kanak-kanak yang mencapai usia dua tahun tanpa vaksinasi mencapai lebih 0.9% di kalangan kanak-kanak yang lahir pada 2011 dan 1.3% di antara mereka yang dilahirkan pada 2015.
Dan jumlah permohonan pengecualian vaksin meningkat pada 2017-2018 di AS untuk tahun ketiga berturut-turut.
Namun kajian besar terhadap lebih 650,0000 kanak-kanak di Denmark yang diikuti selama lebih satu dekad mendapat kesimpulan yang sama dengan beberapa kajian sebelumnya: vaksin terhadap penyakit beguk, campak dan rubela (MMR) tidak berisiko menyebabkan autisme pada kanak-kanak, bertentangan dengan teori yang disokong oleh aktivis anti-vaksin. – AFP, 14 Oktober, 2020.
Komen